fb fb fb fb fb

Israel henti aktiviti ketenteraan di selatan Gaza mudahkan agihan bantuan

Rakyat Palestin berlindung di sebuah sekolah UNRWA di Khan Younis, di selatan Gaza/REUTERS

BAITULMAQDIS, 16 Jun- Tentera Israel akan menghentikan aktiviti ketenteraan setiap hari di sepanjang jalan utama di selatan Gaza untuk membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke kawasan itu.

Perkara itu disebabkan organisasi bantuan antarabangsa telah memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.

Aktiviti ketenteraan rejim zionis itu akan dihentikan pada pukul 5.00 pagi hingga 4.00 petang (waktu tempatan) setiap hari sehingga diberitahu kelak.

Ketika ini tekanan antarabangsa semakin memuncak untuk gencatan senjata, manakala perjanjian untuk menghentikan pertempuran dilihat masih sukar diperolehi sejak Israel menyasarkan Palestin sejak lapan bulan lalu.

Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan membuka barisan kedua menentang Israel sejurus Israel memulakan serangan pada 7 Oktober lalu.

Pertempuran merentasi sempadan Israel-Lubnan kini mengancam untuk menjadi konflik yang lebih luas. Puluhan ribu penduduk telah dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 37,296 rakyat Palestin maut dalam serangan rejim zionis Israel sejak 7 Oktober lalu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI