
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Lebih 25,000 peminat bola sepak membanjiri pekarangan Dataran Merdeka bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol menerusi tayangan skrin besar, awal pagi ini.
- Menteri Fahmi: sambutan tunjuk minat mendalam rakyat terhadap bola sepak dan kejayaan kerjasama pelbagai pihak menayangkan siaran percuma.
- Isu teknikal awal dikenal pasti dan diatasi segera, memberi pengalaman berharga untuk menilai serta mengadaptasi teknologi penyiaran baharu termasuk tontonan melalui telefon bimbit.
- Penghargaan kepada RTM, Telekom Malaysia, CelcomDigi, PDRM dan semua rakan strategik yang menjayakan penganjuran program.
- Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad: RTM menyiarkan 104 perlawanan dan 112 siaran Grandstand serta akan terus meningkatkan kandungan dan platform.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sambutan luar biasa itu membuktikan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap bola sepak serta kejayaan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan rakyat dapat menikmati siaran percuma acara sukan terbesar dunia itu.
“Terdapat beberapa isu teknikal pada peringkat awal yang telah dikenal pasti dan berjaya diatasi.
“Saya rasa ini merupakan peluang yang baik untuk kita melihat teknologi-teknologi baharu, termasuk menonton siaran TV melalui telefon pintar. Ini sangat baik untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Datuk Seri Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada program tayangan Piala Dunia di Dataran Merdeka, awal pagi tadi.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Telekom Malaysia, CelcomDigi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua rakan strategik yang menjayakan penganjuran program berkenaan.
Menurut beliau, beberapa isu teknikal yang berlaku pada peringkat awal siaran berjaya dikenal pasti dan diatasi dengan segera, selain menjadi pengalaman berharga dalam menilai serta mengadaptasi teknologi penyiaran baharu bagi meningkatkan pengalaman tontonan pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata kejayaan penganjuran tayangan berkenaan mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap penyiaran awam dan usaha RTM membawakan liputan sukan bertaraf dunia.
“Kita memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam konteks penyiaran. Kita memastikan kesemua 104 perlawanan ini, serta 112 siaran ‘Grandstand’, dapat disiarkan. Ini merupakan satu sejarah bagi RTM.
“Sepanjang sebulan kempen Piala Dunia ini, ramai yang memberikan maklum balas positif dan konstruktif. Pandangan tersebut membantu kita untuk sentiasa memperbaharui dan menambah baik kandungan serta platform kita. Pertama, kandungan kita. Kedua, platform kita,” katanya.
Ashwad berkata segala maklum balas positif daripada penonton akan dijadikan panduan untuk terus memperkukuh kandungan dan meningkatkan mutu penyiaran RTM.
Beliau turut memberi jaminan bahawa RTM akan terus komited memberikan liputan terbaik terhadap penyertaan kontinjen negara di pentas antarabangsa, termasuk Sukan Komanwel, serta mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada atlet negara.