MONTREAL, 8 Januari- Pengeluar kereta Jepun, Honda sedang mempertimbang untuk membina kilang kenderaan elektrik (EV) yang seterusnya di Kanada, projek yang membabitkan bilion dolar.
Menurut laporan pada Ahad, ia turut meliputi usaha mengeluarkan bateri sendiri menjelang 2028.
Projek itu dianggarkan menelan belanja sebanyak ¥2 trilion yen (hampir $14 bilion USD), projek itu akan mewakili salah satu pelaburan terbesar firma multinasional itu, menurut kumpulan berita Nikkei Jepun.
Honda tidak segera menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen.
Bagaimanapun, tanpa mengesahkan laporan itu, Menteri Industri Kanada, Francois-Philippe Champagne memberitahu Global News Kanada bahawa ia mencerminkan reputasi negara yang semakin meningkat sebagai peneraju dalam menarik pelaburan hijau dalam industri automotif.
"Honda sedang mengkaji beberapa tapak projek, terutamanya bersebelahan dengan salah satu kilangnya di wilayah Ontario, kata Nikkei.
Syarikat Jepun itu dijangka akan membuat keputusan pada tahun ini yang akan membolehkan pengeluaran bermula pada 2028.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kanada telah berusaha secara aktif untuk menarik pengilang dalam sektor kenderaan elektrik, menawarkan pengecualian cukai dan membanggakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan bekalan mineral yang jarang digunakan dalam bateri EV.
Strategi Kanada mengikuti contoh yang ditetapkan oleh rakan dagangan utama negara itu, Amerika Syarikat, menerusi Akta Pengurangan Inflasi 2022 bertujuan untuk menyediakan berbilion dolar dalam subsidi untuk industri hijau.
Honda mengumumkan pada 2022 bahawa pihaknya merancang untuk membina hab EV di negeri Ohio, AS, dengan kerjasama LG Energy Solution dari Korea Selatan, dengan matlamat untuk menghasilkan bateri EV menjelang 2026.
Pada 2021, syarikat Jepun itu menetapkan objektif bercita-cita tinggi untuk sektor automotifnya iaitu 100% pengeluaran EV menjelang 2040, matlamat yang memerlukan pelaburan besar.- AFP