BEIRUT, 6 Mei – Kumpulan Hizbullah yang disokong Iran berkata ia melepaskan “berpuluh-puluh roket Katyusha” ke pangkalan Israel di Dataran Tinggi Golan yang diduduki hari ini sebagai tindakan balas terhadap serangan di timur Lubnan.
Terdahulu, media rasmi Lubnan berkata tiga orang telah cedera dalam serangan Israel awal hari ini di timur negara itu, dengan tentera Israel mengatakan ia telah menyerang "kawasan tentera" Hizbullah.
Pejuang Hizbullah melancarkan "berpuluh-puluh roket Katyusha" menyasarkan "ibu pejabat Bahagian Golan... di pangkalan Nafah" sebagai tindak balas kepada serangan musuh yang menyasarkan wilayah Bekaa," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Sebelum ini lagi, Israel dan Hizbullah kerap saling berbalas tembakan rentas sempadan sejak perang Israel-Palestin meletus Oktober tahun lalu.
Pertempuran semakin sengit sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Israel bertindak menyerang lebih jauh ke dalam wilayah Lubnan, manakala Hizbullah meningkatkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kedudukan tentera di utara Israel.
“Pesawat pejuang musuh melancarkan serangan kira-kira jam 1.30 pagi ini ke atas sebuah kilang di Sifri, mencederakan tiga orang awam dan memusnahkan bangunan itu,” kata Agensi Berita Kebangsaan rasmi Lubnan.
Sifri terletak di Lembah Bekaa Lubnan, berhampiran bandar Baalbek, sekitar 80 kilometer dari sempadan Israel-Lubnan.
Tentera Israel berkata pesawat perangnya "menghancurkan struktur tentera Hizbullah... jauh di dalam Lubnan," merujuk kepada lokasi itu sebagai "Safri".
Bulan lalu, sebuah bangunan di Sifri menjadi sasaran dalam serangan Israel, menurut sumber yang rapat dengan Hizbullah, manakala tentera Israel berkata ia telah menyasarkan tapak Hizbullah di timur Lubnan.
Kawasan Baalbek di Lubnan Timur merupakan kubu kuat Hizbullah dan telah berulang kali diserang oleh Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada Ahad media rasmi di Lubnan berkata serangan Israel ke atas perkampungan selatan membunuh empat ahli keluarga, dengan Hizbullah mengumumkan tembakan balas dengan puluhan roket ke arah Kiryat Shmona di utara Israel.
Pertukaran yang semakin sengit telah mencetuskan kebimbangan akan konflik habis-habisan antara Israel dan Hizbullah, yang berperang sejak 2006.
Mengikut pengiraan AFP, sekurang-kurangnya 390 orang terbunuh dalam tempoh hampir tujuh bulan keganasan rentas sempadan di Lubnan, kebanyakannya pejuang selain lebih 70 orang awam.
Israel mengesahkan 11 tentera dan sembilan orang awamnya terbunuh.- AFP