fb fb fb fb fb

Hamas-Israel capai perjanjian gencatan senjata dan pengunduran tentera

FOTO REUTERS

GAZA, 9 Oktober - Hamas pada Rabu mengesahkan bahawa satu perjanjian telah dicapai bagi menamatkan perang di Gaza, yang turut merangkumi pengunduran tentera Israel serta pelaksanaan pertukaran tahanan dan tebusan.

Dalam kenyataan rasmi, Hamas memaklumkan persetujuan itu dicapai selepas rundingan “bertanggungjawab dan serius” bersama beberapa faksi perjuangan Palestin berhubung cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang diadakan di Sharm el-Sheikh.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan bertujuan menamatkan “perang pemusnahan terhadap rakyat Palestin” serta memastikan pengunduran sepenuhnya penjajahan Israel dari Gaza.

“Hamas mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai untuk menamatkan perang di Gaza, menjamin pengunduran penjajah, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, dan melaksanakan pertukaran tahanan,” menurut kenyataan itu.

Hamas turut merakam penghargaan kepada usaha Qatar, Mesir dan Turkiye sebagai perantara, serta memuji inisiatif Presiden Trump yang disifatkan memainkan peranan penting bagi menamatkan peperangan sepenuhnya dan mencapai pengunduran penuh tentera Israel.

Pergerakan itu dalam masa sama menyeru Presiden Trump, negara penjamin perjanjian, serta pihak Arab, Islam dan antarabangsa supaya memastikan Israel melaksanakan semua komitmen yang dipersetujui tanpa sebarang kelewatan.

“Kami menyanjung rakyat Palestin di Gaza, Baitulmaqdis, Tebing Barat dan di luar negara yang menunjukkan keberanian serta keteguhan luar biasa menentang projek penjajahan yang menindas.

"Pengorbanan mereka tidak akan sia-sia dalam perjuangan mencapai kebebasan dan penentuan nasib sendiri,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump turut mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani fasa pertama pelan damai yang membolehkan pelaksanaan gencatan senjata dan pembebasan tebusan, di bawah kerangka pelan damai yang dicadangkan beliau.

Trump berkata perjanjian itu dicapai selepas rundingan tidak langsung di Mesir dan merupakan langkah awal daripada pelan 20 perkara yang digariskan bagi menamatkan konflik dua tahun di Gaza.

Sekiranya dilaksanakan sepenuhnya, perjanjian tersebut dijangka menjadi kemajuan paling hampir ke arah menghentikan perang yang telah berkembang menjadi konflik serantau, melibatkan beberapa negara termasuk Iran, Yaman dan Lubnan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD