fb fb fb fb fb

Hamas enggan lepas kuasa sebagai balasan gencatan senjata kekal

Asap berkepul akibat serangan rejim zionis Israel ke atas Gaza/REUTERS

KAHERAH, 25 Disember- Hamas menolak cadangan Mesir supaya mereka melepaskan kuasa di Gaza sebagai balasan kepada gencatan senjata kekal, kata dua sumber keselamatan Mesir kepada Reuters pada Isnin.

Kedua-dua kumpulan, mengadakan rundingan berasingan dengan pengantara Mesir di Kaherah.

Mesir mencadangkan perkara itu yang turut disokong oleh pengantara Qatar.

Gencatan senjata akan membebaskan lebih ramai tahanan selain membawa kepada perjanjian gencatan senjata kekal bersama-sama dengan rombakan kepimpinan di Gaza, yang dipimpin oleh Hamas.

Mesir mencadangkan pilihan raya sambil menawarkan jaminan kepada Hamas bahawa ahlinya tidak akan dikejar atau didakwa. Namun perkara itu tidak mendapat persetujuan kumpulan Islam berkenaan, kata sumber itu.

Seorang pegawai Hamas yang melawat Kaherah baru-baru ini enggan mengulas secara langsung berkenaan tawaran khusus bagi gencatan senjata itu.

"Hamas berusaha untuk menamatkan pencerobohan Israel terhadap rakyat kami, pembunuhan beramai-ramai. Kami berbincang dengan saudara kami di Mesir untuk menanganinya," kata pegawai itu kepada Reuters.

"Bantuan kepada rakyat Palestin mesti diteruskan dan perlu sampai kepada semua penduduk di utara dan selatan Gaza," kata pegawai itu.

"Selepas pencerobohan dihentikan dan bantuan meningkat kami bersedia untuk membincangkan pertukaran tahanan," tambahnya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI