Iran serang pangkalan AS di Bahrain

Foto REUTERS

MANAMA, 14 Julai – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengesahkan telah melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain pada Selasa waktu tempatan, sebagai tindak balas terhadap serangan udara besar-besaran tentera AS ke atas aset pertahanan dan radar Iran pada Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan menyasarkan beberapa depoh penyimpanan senjata, pusat komunikasi satelit dan bangunan yang menempatkan anggota tentera AS di Pangkalan Al Juffair.
  • Sistem pertahanan udara Bahrain berjaya memintas dan memusnahkan serangan itu dalam ruang udara negara, menurut Penasihat Media Raja Bahrain.
  • Insiden berbalas memperhebat ketegangan, menimbulkan keraguan terhadap usaha perjanjian sementara dan menyumbang kepada kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menurut kenyataan IRGC, serangan itu menyasarkan beberapa depoh penyimpanan senjata, sebuah pusat komunikasi satelit serta bangunan yang menempatkan anggota tentera AS di Pangkalan Al Juffair, Bahrain.

Sementara itu, Penasihat Media Raja Bahrain, Nabeel Alhamer, berkata menerusi platform X bahawa sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas dan memusnahkan serangan berkenaan di ruang udara Bahrain.

Sebelum ini, tentera AS mengesahkan telah melancarkan serangan ke atas sistem pertahanan udara, tapak radar pesisir pantai, aset peluru berpandu dan dron, serta bot kecil milik Iran pada Ahad (12 Julai) menggunakan jet pejuang, kapal perang dan dron.

Insiden berbalas serangan itu terus meruncingkan konflik susulan tindakan Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz pada hujung minggu lalu.

Ketegangan terbaharu itu turut menimbulkan keraguan terhadap usaha memeterai perjanjian sementara bagi menghentikan konflik, selain mendorong kenaikan harga minyak mentah dunia.

Konflik itu tercetus selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, sebelum Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS. —REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.