fb fb fb fb fb

Georgia bergolak: 107 ditahan susulan penangguhan rundingan keahlian EU

Foto REUTERS

TBILISI, 30 November-Georgia terus dilanda ketegangan apabila 107 orang ditahan pada hari kedua protes yang tercetus akibat keputusan kerajaan menangguhkan rundingan keahlian Kesatuan Eropah (EU) di tengah krisis pasca pilihan raya.

Kementerian Dalam Negeri Georgia melaporkan 107 individu ditahan atas tuduhan "enggan mematuhi arahan polis dan melakukan kekacauan.

"Sepanjang malam, para penunjuk perasaan melemparkan batu, bunga api, botol kaca, dan objek logam ke arah pegawai penguat kuasa undang-undang," kata kementerian itu, yang turut menambah bahawa 10 anggota polis turut cedera dalam protes tersebut.

Kira-kira 32 pegawai polis dilaporkan cedera, manakala 43 penunjuk perasaan ditahan pada Khamis.

Kenyataan Perdana Menteri Irakli Kobakhidze pada Khamis bahawa Georgia hanya akan membuka rundingan keahlian EU pada 2028 mencetuskan kemarahan pembangkang pro-EU dan gelombang protes selama dua hari.

Meskipun, Kobakhidze kemudiannya menegaskan matlamat menjadi ahli EU menjelang 2030 tetap menjadi keutamaan, ramai melihat ia sebagai langkah menjauhkan negara dari hala tuju pro-Eropah.

Pada Jumaat, polis antirusuhan di Tbilisi menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling telur dan bunga api di luar parlimen.

Beberapa wartawan dilaporkan cedera, termasuk seorang dari stesen TV Pirveli yang dimasukkan ke hospital.

Protes turut diadakan di bandar-bandar lain, menurut laporan stesen TV bebas, Mtavari.

Sementara itu, Presiden Salome Zurabishvili, yang sering berselisih pendapat dengan parti pemerintah, menyokong protes tersebut dalam ucapan yang disiarkan pada Jumaat.

" Saya berdiri bersama mereka," katanya.

Beliau menyeru perpaduan sehingga Georgia kembali ke haluan Eropah dan mendapatkan pilihan raya baharu.

Dalam pada itu, tindakan keras terhadap penunjuk perasaan dikritik hebat oleh Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International dan beberapa negara Eropah seperti Perancis, Britain, dan Lithuania.

Majlis Eropah mengecam penindasan tersebut kejam dan menyeru Georgia untuk kekal setia kepada nilai-nilai Eropah.

Negara di pesisir Laut Hitam itu bergolak selepas parti pemerintah Georgian Dream mendakwa kemenangan dalam pilihan raya parlimen 26 Oktober lalu.

Pihak pembangkang yang pro-EU menuduh pilihan raya tersebut dicemari dengan unsur-unsur penipuan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD