Kesihatan mental pembunuh senyap

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Masalah mental sering tidak ketara tetapi menjejaskan fokus, motivasi dan penglibatan kerja secara serius.
  • Peningkatan isu dalam kanak-kanak dan remaja serta lonjakan kes bunuh diri menandakan krisis yang memerlukan tindakan segera.
  • Stigma menghalang bantuan; literasi kesihatan mental dan pendidikan digital perlu dimulakan dari sekolah rendah.
  • Komuniti, majikan dan kerajaan perlu sedia sokongan seperti talian bantuan, persekitaran kerja mesra psikologi dan akses rawatan.

Kesihatan mental kini dianggap sebagai pembunuh dalam senyap yang kian mengganas dalam struktur masyarakat moden ekoran tekanan akademik yang melampau tuntutan sosial yang tidak realistik serta konflik identiti yang meruncing dalam kalangan dewasa mahupun kanak kanak.

Walaupun cabaran kesihatan mental ini tidak selalunya kelihatan pada luaran atau fizikal seseorang ia mempunyai daya pemusnah yang sangat besar sehingga mampu menjejaskan tumpuan mengurangkan motivasi meningkatkan kekerapan kesilapan serta menyebabkan tahap penglibatan di tempat kerja merosot dengan ketara.

Fenomena ini telah menjadi krisis kemanusiaan yang menuntut perhatian serius daripada semua pihak bagi memastikan kesejahteraan minda rakyat Malaysia terus terpelihara daripada terus dihanyutkan oleh gelombang depresi.

Menurut data daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023, statistik masalah kesihatan mental bagi kanak kanak dan remaja berumur antara 5 tahun hingga 15 tahun menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan iaitu mencecah 16.5 peratus.

Angka ini memberikan isyarat jelas bahawa generasi muda kita sedang bergelut dengan kecamuk emosi yang sangat hebat pada usia yang masih terlalu mentah.

Peningkatan kes bunuh diri juga merupakan petunjuk yang sangat serius mengenai krisis ini di mana sebanyak 468 kes dilaporkan pada tahun 2020 dan angka tersebut melonjak secara drastik kepada 631 kes pada tahun 2021.

Peningkatan yang mendadak ini membuktikan bahawa stigma masyarakat terhadap isu mental masih menjadi tembok besar yang menghalang mangsa daripada mendapatkan bantuan profesional sebelum nasi menjadi bubur.

Isu kesihatan mental yang tidak dirawat ini secara langsung menjejaskan prestasi akademik pelajar di sekolah dan universiti serta mengurangkan produktiviti pekerja di pelbagai sektor ekonomi sekali gus menjejaskan kemenjadian insan secara menyeluruh.

Pakar Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Datin Dr Ruhani Mat Min menegaskan bahawa ibu bapa dan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan serta golongan cendekiawan perlu memikul tanggungjawab kolektif dalam menangani isu ini.

Usaha menyedarkan kanak kanak dan remaja mengenai nilai kehidupan perlu diperkasakan sama ada melalui media massa mahupun media sosial bagi memastikan mereka faham bahawa tindakan mencederakan diri atau bunuh diri bukannya jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Di Malaysia pelbagai inisiatif strategik telah dilancarkan untuk meningkatkan akses dan kesedaran mengenai kesihatan mental yang menunjukkan komitmen padu negara dalam memupuk kemenjadian insan yang seimbang.

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat misalnya telah menyediakan perkhidmatan Talian Kasih sebagai talian prihatin masyarakat yang sangat mudah diakses oleh orang awam.

Talian bebas tol 15999 serta aplikasi WhatsApp melalui nombor 019-2615999 merupakan talian hayat yang disediakan untuk memberikan sokongan segera kepada mereka yang berada dalam keadaan terdesak atau memerlukan ruang untuk berkongsi masalah tanpa rasa dihakimi oleh sesiapa.

Namun begitu penyediaan kemudahan fizikal dan talian bantuan sahaja tidak akan mencukupi sekiranya budaya masyarakat masih lagi gemar melabel pesakit mental sebagai kurang iman atau sekadar mencari perhatian.

Stigma negatif ini perlu dikikis segera melalui pendidikan literasi kesihatan mental yang lebih inklusif bermula dari peringkat sekolah rendah lagi.

Anak-anak perlu diajar untuk mengenali emosi mereka sendiri serta tahu bagaimana untuk mengekspresikan kesedihan atau kegelisahan dengan cara yang sihat.

Apabila masyarakat mula melihat masalah mental sebagai isu kesihatan yang sama pentingnya dengan penyakit fizikal seperti kencing manis atau darah tinggi barulah akses kepada rawatan akan menjadi lebih terbuka dan tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang memalukan keluarga.

Selain faktor luaran tekanan daripada media sosial yang memaparkan gaya hidup sempurna secara palsu juga dikenal pasti sebagai antara punca utama kegelisahan dalam kalangan remaja hari ini.

Budaya membandingkan diri dengan kehidupan orang lain yang hanya memaparkan kebahagiaan di skrin telefon pintar menyebabkan ramai individu merasa rendah diri dan gagal menghargai kualiti diri mereka yang sebenar.

Oleh itu literasi digital yang menekankan aspek kesejahteraan mental perlu diserapkan dalam setiap penggunaan teknologi agar masyarakat tidak mudah terperangkap dalam delusi kesempurnaan yang dicipta oleh algoritma media sosial.

Kita perlu kembali kepada asas perhubungan manusia yang bersifat empati dan saling menyokong antara satu sama lain secara nyata.

Pihak majikan di sektor awam mahupun swasta juga perlu lebih peka terhadap kebajikan mental pekerja dengan mewujudkan persekitaran kerja yang mesra psikologi.

Budaya kerja yang terlalu menekankan pencapaian KPI tanpa menghiraukan waktu rehat dan kualiti tidur pekerja hanya akan melahirkan tenaga kerja yang lesu dan tidak produktif dalam jangka masa panjang.

Syarikat yang melabur dalam program sokongan mental pekerja sebenarnya sedang melindungi aset paling berharga mereka daripada mengalami burnout atau keletihan melampau yang boleh menyebabkan kerugian ekonomi yang lebih besar.

Pengiktirafan terhadap cuti kesihatan mental wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada faedah pekerja yang progresif dalam era ekonomi moden ini.

Dengan meningkatkan tahap kesederhanaan dalam tuntutan hidup serta memperluas akses kepada perkhidmatan sokongan pakar Malaysia sebenarnya mampu membina sebuah masyarakat yang jauh lebih sihat dari segi fizikal dan juga mental.

Kemenjadian insan yang sempurna tidak hanya diukur melalui deretan gred cemerlang atau kejayaan material semata-mata tetapi ia bermula daripada minda yang tenang dan stabil.

Kita semua mempunyai peranan untuk menjadi pendengar yang baik kepada rakan atau ahli keluarga yang sedang mengalami fasa suram dalam hidup mereka.

Kadangkala hanya dengan satu pertanyaan ikhlas mengenai khabar atau keberadaan kita di sisi mereka sudah cukup untuk menyelamatkan satu nyawa daripada terjebak dalam lembah keputusasaan yang gelap.

Kesimpulannya kesihatan mental adalah satu amanah yang perlu dijaga dengan penuh ketelitian oleh setiap individu dan setiap lapisan masyarakat tanpa terkecuali.

Janganlah kita membiarkan lebih banyak nyawa terkorban hanya kerana kita terlalu sibuk dengan urusan duniawi sehingga mengabaikan rintihan senyap mereka yang berada di sekeliling kita.

Transformasi daripada sebuah masyarakat yang menghakimi kepada masyarakat yang mengasihi adalah kunci utama bagi memastikan suka mengatasi duka dalam isu kesihatan mental di negara kita.

Malaysia yang sejahtera adalah Malaysia yang rakyatnya mempunyai ketahanan jiwa yang kental serta sistem sokongan sosial yang ampuh untuk mendepani sebarang cabaran masa hadapan dengan penuh keyakinan dan harapan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Izzatur Nadhirah Abdul Aziz
Pensyarah
INTI International College Penang

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.