
JOHOR BAHRU, 23 Mei – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan beliau menerima notifikasi amaran daripada Apple berhubung cubaan serangan perisian pengintip atau mercenary spyware terhadap telefon pintar yang dikaitkan dengan akaun peribadinya.
- Mengutuk keras sebarang pengintipan digital, pencerobohan dan penyalahgunaan teknologi.
- Akan membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada SKMM untuk siasatan menyeluruh mengikut undang-undang.
- Menuntut tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan digital serta memelihara hak privasi individu.
Beliau menyifatkan perkara berkenaan serius kerana melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak privasi serta cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi individu.
Menurutnya, sebarang bentuk pengintipan, pencerobohan digital dan penyalahgunaan teknologi untuk tujuan tidak bertanggungjawab perlu dikecam dan ditangani secara tegas.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengintipan, pencerobohan digital dan penyalahgunaan teknologi untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Jelasnya, beliau akan membuat laporan polis selain mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan mengikut lunas undang-undang.
Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan keselamatan digital serta hak privasi individu terus terpelihara daripada sebarang ancaman siber.
Beliau turut berharap masyarakat dilindungi daripada penyalahgunaan teknologi yang boleh mengancam keselamatan dan hak peribadi.
“Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang pencerobohan dan penyalahgunaan teknologi yang boleh mengancam keselamatan serta hak privadi individu,” katanya.