
KUALA LUMPUR, 23 Mei -Malaysia dijangka terus menjadi pilihan pelabur asing dalam sektor teknologi bernilai tinggi khususnya semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) walaupun ketika ketidaktentuan global.
- Ekosistem semikonduktor kukuh dengan tenaga kerja mahir, rantaian bekalan lengkap dan pengalaman lama menarik syarikat multinasional.
- Pusat data dianggap infrastruktur penting bagi menyokong perkembangan kecerdasan buatan dan menarik pelaburan dalam teknologi AI.
- Dasar kerajaan yang jelas dan konsisten, termasuk elektrik, tanah dan proses kelulusan, menjadikan Malaysia destinasi pelaburan kompetitif.
Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia disokong ekosistem semikonduktor Malaysia yang mempunyai tenaga kerja mahir, rantaian bekalan lengkap serta pengalaman panjang dalam menarik syarikat multinasional ke negara ini.
Menurut beliau, perkembangan itu turut memberi kelebihan kepada Malaysia dalam menarik pelaburan pusat data, yang menjadi antara infrastruktur penting bagi menyokong pembangunan AI.
Beliau berkata, pelabur juga melihat Malaysia sebagai destinasi yang kompetitif kerana dasar kerajaan yang jelas dan konsisten, termasuk berkaitan elektrik, tanah serta proses kelulusan pelaburan.
“Pusat data membantu perkembangan AI kerana ia merupakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong teknologi itu.
Malaysia setakat ini berjaya menarik pelaburan yang tinggi dalam sektor berkenaan, bukan sahaja kerana ekosistem sedia ada, tetapi juga dari segi birokrasi, kemudahan serta dasar yang jelas dan konsisten, terutama berkaitan elektrik dan tanah.” katanya selepas program Tanya Terus di TV1.
Tambahnya, kehadiran syarikat multinasional sejak beberapa dekad lalu turut membantu membangunkan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan teknologi.
Sebahagian daripada syarikat tempatan itu kini bukan sahaja menyokong operasi multinasional di Malaysia, malah turut membekalkan produk dan perkhidmatan ke pasaran serantau serta Amerika Syarikat.