
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Meskipun inflasi negara mencatatkan sedikit peningkatan pada April 2026 seiring tekanan krisis di peringkat antarabangsa, namun ekonomi domestik negara terus mencatatkan pertumbuhan positif dan kekal berdaya saing.
- Ekonomi domestik terus berdaya tahan, mencatat pertumbuhan positif dan kekal berdaya saing.
- Kenaikan inflasi menaikkan kos bahan mentah, logistik dan import serta menjejaskan kos pengurusan industri dan harga pengguna.
- Kerajaan disaran meneruskan subsidi bersasar, kawal harga barangan asas dan memperkukuh pengeluaran domestik.
- Pengguna digalakkan berjaga-jaga dalam perbelanjaan; sentimen terlalu berhati-hati boleh menjejaskan pasaran dan OPR bergantung trajektori inflasi.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengurusan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Rabiatul Munirah Alpandi berkata, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar inflasi meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus.
Katanya, meskipun inflasi menunjukkan peningkatan tetapi pertumbuhan ekonomi negara yang direkodkan melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), adalah sekitar 5.4 peratus dan ia mencerminkan ekonomi domestik masih mempunyai daya tahan walaupun berdepan tekanan bekalan global.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan kadar inflasi itu meningkatkan kos bahan mentah, logistik, import selain dijangka memberi kesan berperingkat kepada kos pengurusan industri dan harga barangan pengguna.
“Pendekatan terbaik yang kerajaan boleh jalankan adalah dengan meneruskan subsidi bersasar serta memberikan kawalan harga barang keperluan asas dan dalam masa yang sama memperkukuh pengeluaran barangan di dalam Malaysia bagi mengurangkan kebergantungan kepada barangan import terutamanya pada barangan makanan.
“Pengguna juga disaran lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan dan mengawal segi perbelanjaan yang tidak perlu kerana perubahan harga mungkin berlaku secara beransur-ansur dan ia tidak mungkin berlaku secara drastik,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Rabiatul berkata, sentimen pengguna yang terlalu berhati-hati boleh memberi kesan kepada pasaran dan pertumbuhan sektor perniagaan.
Beliau juga berkata, kadar pengangguran yang masih berada pada tahap guna tenaga penuh sekitar tiga peratus menyaksikan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang positif untuk terus mencatatkan perkembangan.
Pada masa sama, beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah bergantung kepada trajektori inflasi semasa.