MANILA, 7 Mac – Filipina dan Kanada dijangka menandatangani perjanjian Status Pasukan Lawatan (SOVFA) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, menurut Kementerian Pertahanan Filipina.
Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan perjanjian tersebut akan menjadi rangka kerja bagi meningkatkan kerjasama ketenteraan dan pertahanan, termasuk memperbaiki keupayaan interoperabiliti antara pasukan kedua-dua negara.
"Filipina menantikan impak positif SOVFA, yang dijangka menyumbang kepada keamanan, kestabilan, dan kerjasama di rantau Indo-Pasifik," menurut kenyataan itu, menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting dalam hubungan pertahanan dua hala.
Kanada sebelum ini menyokong pendirian Filipina berhubung Laut China Selatan, termasuk keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 yang menolak tuntutan luas China di kawasan itu.
Namun, China menolak keputusan tersebut.
Pada 2023, Filipina dan Kanada turut menandatangani perjanjian mengenai penggunaan sistem pengesanan kapal gelap Ottawa bagi membanteras perikanan haram dan aktiviti kapal yang mematikan pemancar lokasi mereka bagi mengelak pengesanan.
Seiring dengan ketegangan yang semakin meningkat di Indo-Pasifik, Filipina terus memperluaskan perkongsian keselamatannya sambil mengekalkan hubungan jangka panjang dengan Amerika Syarikat.
Bulan lalu, Filipina menyelesaikan rundingan serupa dengan New Zealand dan dijangka memeterai perjanjian rasmi dalam suku kedua tahun ini.
Tahun lalu, negara itu turut meratifikasi perjanjian akses timbal balik dengan Jepun, yang membolehkan angkatan tentera kedua-dua negara ditempatkan di wilayah masing-masing.-REUTERS