fb fb fb fb fb

ECB terus naikkan kadar faedah

(FOTO AFP)

FRANKFURT, 28 Oktober- Bank Pusat Eropah (ECB) mengumumkan satu lagi kenaikan besar kadar faedah dan berkata kenaikan selanjutnya akan menyusul bagi memerangi inflasi yang melambung tinggi.

Majlis pentadbiran 25 ahli ECB mengulangi langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan memilih satu lagi peningkatan ketara sebanyak 75 mata asas, menjadikan tiga kadar utamanya berada dalam julat antara 1.5% hinga 2.25 %.

"Kami akan menaikkan kadar selanjutnya pada masa hadapan bagi menutup kelompongan," kata Presiden ECB, Christine Lagarde sambil memberi amaran kemelesetan zon Euro semakin hampir.

Bank yang berpusat di Frankfurt itu berada bawah tekanan untuk mengekang rekod inflasi yang tinggi, terutamanya didorong oleh lonjakan harga makanan dan tenaga susulan perang di Ukraine.

Inflasi zon Euro berada pada kadar 9.9% pada September, hampir lima kali ganda sasaran dua peratus ECB.

(Christine Lagarde mengadakan sidang akhbar mengenai dasar monetari zon euro berikutan
mesyuarat majlis pentadbiran ECB/AFP)

"Inflasi kekal terlalu tinggi dalam kelab matawang 19 negara itu," kata Lagarde.

Seperti bank pusat lain, ECB telah melaksanakan beberapa siri kenaikan kadar yang bertujuan mengurangkan permintaan dengan menjadikan kredit lebih mahal untuk isi rumah dan perniagaan.

Namun kos pinjaman yang lebih tinggi turut mempengaruhi aktiviti ekonomi, dan tinjauan zon Euro telah merosot dengan ketara.

"Kemungkinan kemelesetan semakin menghampiri," kata Lagarde dalam sidang media di sini.

"Dan inflasi boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan jika terdapat kenaikan harga tenaga dan komoditi makanan", tambahnya. -AFP

Media Baharu