fb fb fb fb fb

Cuaca ekstrim, lebih 100 kereta bertembung di lebuh raya di China

Anggota polis membantu kereta yang tersangkut dalam salji di daerah Fuyun, Xinjiang / Foto Reuters

BEIJING, 23 Februari - Beberapa orang cedera selepas lebih 100 kereta bertembung antara satu sama lain di kawasan berais lebuh raya di bandar Suzhou di China, lapor media kerajaan hari ini, kemalangan terbaharu yang disebabkan oleh keadaan cuaca yang melampau.

Tiga orang cedera dan dimasukkan ke hospital, manakala enam mengalami luka kecil, lapor polis trafik Taman Perindustrian Suzhou menerusi akaun media sosial WeChatnya.

Lalu lintas jalan raya telah dipulihkan dan punca kemalangan sedang disiasat, kata polis.

Sejak beberapa minggu lalu, sebahagian besar China telah dilanda gelombang sejuk, ribut salji dan hujan berais, menjejaskan pengangkutan ketika berjuta-juta orang berpusu-pusu pulang untuk sambutan Tahun Baharu China.

Minggu ini, kerajaan menaikkan respon kecemasannya untuk suhu beku dan juga memulakan beberapa rancangan untuk aliran pengangkutan, bekalan dan elektrik di wilayah dan bandar termasuk Beijing, Hebei, Shanxi, Anhui dan Hubei, lapor Xinhua News.

Pentadbiran Meteorologi China mengekalkan amaran yang lebih tinggi untuk pembekuan dan suhu rendah di beberapa kawasan tengah dan selatan.

Menurut data amaran cuaca di VariFlight, 34 daripada lebih 260 lapangan terbang di negara itu telah mengeluarkan amaran kabus dan salji, lapor CCTV.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN