
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Facebook sudah mula diakses para pengguna selepas mengalami gangguan pada aplikasi media sosial itu di seluruh dunia, termasuk Malaysia kira-kira 3.00 petang (waktu Malaysia).
- Pengguna alami masalah log masuk dan suapan gagal dimuat semula, terutama ketika menggunakan peranti selain telefon pintar.
- Pengguna kongsi tangkap layar notis "Akaun anda tidak dapat diakses"; mesej menyatakan isu dijangka selesai dalam beberapa minit.
- Downdetector merekodkan lonjakan laporan gangguan, menunjukkan masalah akses meluas di pelbagai lokasi.
- Beberapa fungsi terjejas termasuk muat naik foto/video dan penghantaran mesej Messenger; tiada kenyataan rasmi daripada Meta setakat kini.
Gangguan itu menyaksikan pengguna berdepan masalah untuk log masuk, selain gagal memuat semula paparan suapan (feed) masing-masing terutama ketika menggunakan peranti selain telefon pintar.
Semakan RTM menerusi platform X dan Threads mendapati rata-rata pengguna tidak dapat mengakses aplikasi berkenaan.
Ada juga pengguna berkongsi tangkap layar notis gangguan sistem yang memaparkan mesej “Your account is currently unavailable due to a site issue. We expect this to be resolved shortly. Please try again in a few minutes“. (Akaun anda tidak dapat diakses buat masa ini disebabkan isu pada laman web. Kami menjangkakan isu ini akan diselesaikan dalam masa yang singkat. Sila cuba lagi dalam beberapa minit).
Ketika gangguan laman pemantauan gangguan perkhidmatan dalam talian, Downdetector, turut merekodkan lonjakan laporan secara mendadak daripada pengguna berhubung masalah akses Facebook bermula petang tadi.
Aantara masalah utama yang dilaporkan termasuk kegagalan memuat naik foto dan video, serta gangguan fungsi penghantaran mesej menerusi aplikasi Messenger.
Selain di Malaysia, laporan media antarabangsa turut menyatakan aduan berkaitan gangguan platform milik syarikat Meta itu meningkat sekitar 10.39 pagi waktu Timur Amerika Syarikat dengan jumlah laporan melebihi 4,000 aduan dalam tempoh singkat.
Setakat berita ini ditulis (7.00 malam), Meta belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung punca gangguan perkhidmatan tersebut.