fb fb fb fb fb

Bank kuasa mungkin punca kebakaran pesawat Air Busan

FOTO FAIL AFP

SEOUL, 14 Mac- Kementerian Pengangkutan Korea Selatan pada Jumaat memaklumkan bahawa kebakaran yang memusnahkan pesawat Air Busan pada Januari lalu berkemungkinan berpunca daripada bank kuasa (power bank), berdasarkan hasil siasatan awal.

Menurut kenyataan rasmi, kesan hangus pada serpihan power bank yang ditemui di lokasi kebakaran pertama dikesan menunjukkan kebakaran itu mungkin berlaku akibat kerosakan pada penebat dalam bateri. Namun, punca sebenar kerosakan penebat tersebut masih belum dapat dipastikan.

Bateri litium dalam peranti seperti komputer riba, telefon bimbit, rokok elektronik dan bank kuasa boleh menghasilkan asap, api atau haba melampau jika terdapat kecacatan pembuatan atau kerosakan yang menyebabkan litar pintas.

Siasatan juga mengesahkan tiada sebarang kecacatan pada sistem elektrik pesawat itu sendiri.

Kebakaran tersebut berlaku pada 28 Januari, kira-kira 20 minit selepas penerbangan yang sepatutnya berlepas ke Hong Kong dari Busan tertangguh. Api pertama kali dikesan di ruang bagasi atas baris ke-30 di bahagian kiri pesawat Airbus A321ceo.

Semua 170 penumpang dan enam anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat, namun pesawat tersebut musnah akibat kebakaran.

Lembaga Penyiasatan Kemalangan Penerbangan dan Kereta Api Korea Selatan mengetuai siasatan ini. Kemas kini siasatan pada Jumaat ini bukanlah laporan akhir kemalangan. Mengikut piawaian penerbangan global, laporan penuh perlu diterbitkan dalam tempoh setahun selepas insiden berlaku.

Kebakaran bateri litium telah lama dikenal pasti sebagai isu keselamatan penerbangan, dan peraturan berkaitan kerap diperketatkan berikutan insiden yang berlaku.

Bermula 1 Mac, Korea Selatan telah memperkenalkan peraturan baharu mengenai pengangkutan bateri dalam penerbangan, termasuk mewajibkan power bank dan rokok elektronik dibawa bersama penumpang dan tidak disimpan dalam ruang bagasi atas, serta melarang sebarang pengecasan peranti semasa penerbangan.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), tahun lalu sahaja, terdapat purata tiga insiden setiap dua minggu yang melibatkan pemanasan melampau bateri litium dalam pesawat, berbanding hanya satu insiden seminggu pada 2018.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE