
PARIS, 28 Julai – Legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Perancis bagi menggantikan Didier Deschamps, umum Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) pada Selasa.
- Didier Deschamps menamatkan khidmat selepas membawa Perancis tempat keempat Piala Dunia 2026.
- Zidane menolak tawaran kelab demi mengendalikan pasukan kebangsaan Perancis, sedia memikul tugas itu.
- Sebagai pemain, bantu juarai Piala Dunia 1998 dan Euro 2000; sebagai jurulatih, menjuarai Liga Juara-Juara 2016, 2017 dan 2018 bersama Real Madrid.
Zidane, 54 dibawa masuk menggantikan Deschamps yang menamatkan khidmatnya awal bulan ini selepas mengemudi Perancis menduduki tempat keempat Piala Dunia 2026.
Sepanjang mengendalikan Perancis sejak 2012, Deschamps berjaya menghadiahkan satu gelaran juara Piala Dunia 2018 selain membawa skuad Les Bleus mara ke final edisi 2022.
Zidane yang juga bekas bintang Real Madrid mengakui sudah bersedia memikul tugas sebagai pengendali Perancis selepas kali terakhir mengemudi Real Madrid pada 2021.
“Jawatan jurulatih Perancis adalah satu-satunya yang saya mahukan.
“Sepanjang empat atau lima tahun lalu, saya menerima beberapa tawaran untuk melatih kelab, tetapi semuanya saya tolak kerana mahu mengendalikan pasukan kebangsaan Perancis,” kata Zidane ketika majlis pengenalannya di ibu pejabat FFF di Paris.
Zidane akan mengikut jejak langkah bekas rakan sepasukannya, Laurent Blanc dan Deschamps yang masing-masing pernah membimbing skuad kebangsaan Perancis.
Ketika menjadi pemain, bekas pemenang anugerah Ballon d’Or itu pernah membantu Perancis menjulang Piala Dunia 1998 dan Kejohanan Eropah 2000.
Dalam karier kejurulatihan, Zidane hanya pernah mengendalikan Real Madrid dengan mencipta sejarah apabila membawa kelab itu menjuarai Liga Juara Eropah sebanyak tiga musim berturut-turut pada 2016, 2017 dan 2018. -AFP