
SEPANG, 28 Julai – Bahrain akan menanggung sepenuhnya bayaran yuran hak penganjuran Formula Satu (F1) bagi perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini.
- Malaysia masih perlu berkongsi kos persediaan tempatan untuk memastikan litar memenuhi spesifikasi Formula 1.
- Kos persediaan dianggarkan sekitar RM40 juta dan akan dikongsi antara Malaysia dan Bahrain, tidak termasuk yuran hak penganjuran.
- SIC sedang berbincang dengan BIC tentang operasi, keperluan teknikal, persiapan litar dan pembahagian kos penganjuran.
- Jika Malaysia menganjur sendiri secara tahunan, kos dijangka minimum RM300 juta; pulangan berpotensi tiga kali ganda sehingga RM1 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata perkara itu dipersetujui menerusi kerjasama antara SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dengan yuran hak penganjuran sekitar US$70 juta-US$80 juta (RM298 juta-RM340 juta), bergantung kepada rundingan dan faktor logistik.
“Mengenai yuran hak penganjuran itu, saya boleh sahkan ia dibayar oleh Bahrain,” katanya pada sidang media di SIC di sini.
Jelas Azhan Shafriman, meskipun yuran hak penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia masih perlu berkongsi kos persediaan tempatan bagi memastikan litar memenuhi spesifikasi Formula 1.
Katanya, kos persediaan yang dianggarkan sekitar RM40 juta itu akan dikongsi antara Malaysia dan Bahrain, tidak termasuk bayaran hak penganjuran.
“Buat masa sekarang, kita melihat kepada angka sekitar 40 juta (Ringgit) kos yang akan dikongsi antara SIC dan Bahrain. Itu tidak termasuk rights fees,” katanya.
Sementara itu, Azhan Shafriman berkata, SIC kini sedang berbincang dengan BIC mengenai pelbagai aspek operasi termasuk persiapan litar, keperluan teknikal serta pembahagian kos penganjuran.
Sebahagian daripada perbelanjaan itu melibatkan kerja bagi memastikan SIC terus memenuhi piawaian FIA Gred 1, selain penambahbaikan kecil yang diperlukan bagi memenuhi keperluan perlumbaan Formula 1.
Menurut beliau, jika Malaysia menganjurkan perlumbaan secara tahunan dengan menanggung sendiri yuran hak penganjuran dan kos operasi tempatan, jumlah perbelanjaan dijangka tidak kurang daripada RM300 juta.
“Data yang saya lihat, kebanyakan negara hos mendapat pulangan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada nilai yang dibelanjakan. Maknanya jika belanja 300 juta, potensi pulangan kepada negara boleh mencecah 1 bilion Ringgit,” katanya. – Bernama