Tiket F1 Grand Prix Bahrain di Sepang dijangka diumum awal Ogos

Foto BERNAMA

SEPANG, 28 Julai – Penjualan tiket perlumbaan Formula One (F1) Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka diumumkan seawal-awalnya Ogos ini, sekali gus memberi kelegaan kepada peminat yang menantikan perkembangan lanjut mengenai acara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan struktur harga, kategori tiket dan susunan tempat duduk masih berlangsung antara SIC dan BIC.
  • Semua keputusan penjualan tiket, termasuk harga, kategori dan pengagihan, adalah bidang kuasa mutlak BIC.
  • Tiket sebelumnya dipulangkan susulan perubahan lokasi; penjualan baharu serta cadangan seperti konsep MADANI tertakluk kepada persetujuan BIC.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata rundingan mengenai struktur harga, kategori tiket dan susunan tempat duduk masih berlangsung bersama Bahrain International Circuit (BIC) selaku pemegang hak penganjuran perlumbaan berkenaan.

Menurut beliau, semua urusan berkaitan penjualan tiket termasuk penetapan harga, kategori tempat duduk serta pengagihan tiket adalah bawah bidang kuasa BIC.

“Pada masa ini, semua perkara berkaitan tiket masih dalam proses rundingan. Berdasarkan perbincangan awal, keseluruhan proses penjualan tiket akan dikendalikan oleh BIC.

“Kami boleh mengemukakan cadangan, namun keputusan muktamad mengenai harga dan kategori tiket adalah bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman penganjuran F1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang.

Azhan Shafriman berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada BIC, semua tiket yang sebelum ini dijual bagi perlumbaan di Bahrain telah dipulangkan susulan perubahan lokasi penganjuran acara tersebut.

Katanya, proses penjualan tiket baharu akan dimulakan sebaik sahaja semua rundingan dimuktamadkan.

“Saya menjangkakan pengumuman itu dibuat secepat mungkin dan tidak melepasi awal Ogos,” katanya.

Mengulas cadangan memperkenalkan tiket berkonsepkan MADANI, beliau berkata perkara itu turut dibincangkan, namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada persetujuan pemegang hak penganjuran.

“Kita boleh mencadangkan kategori tertentu, namun akhirnya ia bergantung pada persetujuan BIC,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa SIC berperanan sebagai tuan rumah penganjuran acara tersebut, manakala hak komersial termasuk penjualan tiket, pakej hospitaliti dan pas paddock adalah milik BIC.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai memahami peranan setiap pihak bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan pengurusan tiket dan kemudahan sepanjang perlumbaan F1 berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.