Pulau Pinang kekal negeri pengeksport utama – DOSM

Foto fail

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur terus mendominasi prestasi eksport Malaysia dengan menyumbang sebanyak 89.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport bagi Jun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pulau Pinang kekal pengeksport utama dengan sumbangan 48.9 peratus.
  • Eksport Malaysia Jun 2026 meningkat 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion berbanding tahun sebelumnya.
  • Peningkatan eksport disumbang terutamanya oleh Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Selangor.
  • Import Jun 2026 meningkat 43.9 peratus kepada RM49.7 bilion dan Pulau Pinang menguasai 28.4 peratus.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport negara pada Jun 2026 berjumlah RM177.9 bilion, meningkat RM55.6 bilion, naik 45.4 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

”Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 48.9 peratus, diikuti oleh Johor (17.6 peratus), Selangor (13.8 peratus), Sarawak (6.0 peratus) dan Kuala Lumpur (3.2 peratus).

”Peningkatan eksport ini disumbangkan oleh eksport lebih tinggi di Pulau Pinang (RM39.0 bilion), Johor (RM8.7 bilion), Sarawak (RM4.3 bilion) dan Selangor (RM4.0 bilion).

”Turut menyumbang, Kuala Lumpur (RM880.4 juta), Perak (RM567.5 juta), Kedah (RM178.7 juta), Labuan (RM153.8 juta) dan Negeri Sembilan (RM99.9 juta),” jelas DOSM menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, eksport mencatatkan penurunan di Perlis (RM22.1 juta), Kelantan (RM63.3 juta), Terengganu (RM93.7 juta), Pahang (RM104.6 juta), Melaka (RM508.7 juta) dan Sabah (RM547.5 juta).

DOSM memaklumkan, import pada Jun 2026 meningkat 43.9 peratus kepada RM49.7 bilion berbanding bulan sama 2025.

Pulau Pinang mendominasi import Malaysia dengan menyumbang sebanyak 28.4 peratus daripada jumlah keseluruhan import, diikuti Johor (24.2 peratus), Selangor (22.6 peratus), Kuala Lumpur (10.9 peratus) dan Kedah (4.6 peratus).

”Import lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri seperti Pulau Pinang (RM19.5 bilion), Johor (RM11.9 bilion), Selangor (RM9.2 bilion), Kuala Lumpur (RM8.3 bilion), Kedah (RM1.5 bilion), Negeri Sembilan (RM748.7 juta), Perak (RM398.6 juta), Pahang (RM266.6 juta) dan Sabah (RM4.8 juta).

”Bagaimanapun, import menyusut di Kelantan (-RM12.4 juta), Labuan (-RM17.3 juta), Perlis (-RM31.6 juta), Sarawak (-RM32.6 juta), Terengganu (-RM50.0 juta) dan Melaka (-RM559.7 juta),” jelas DOSM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.