
TOKYO, 28 Julai – Gempa bumi kuat yang melanda barat daya Jepun pada Selasa mengakibatkan bangunan runtuh dan kebakaran di beberapa lokasi, manakala sekurang-kurangnya 50 mangsa dilaporkan dikejarkan ke hospital, menurut penyiar awam NHK.
- JMA rekod gempa magnitud 7.1 dengan intensiti Shindo tahap tujuh, tahap tertinggi.
- Rakaman NHK menunjukkan kebakaran, jambatan dan jalan rosak, kereta api kargo tergelincir serta sekurang-kurangnya 12 rumah runtuh.
- Kira-kira 45,000 isi rumah di Kumamoto terputus bekalan elektrik; tiada kejanggalan dikesan di loji nuklear dan tiga reaktor terus beroperasi.
Perdana Menteri Sanae Takaichi berkata, pihak berkuasa masih menilai tahap kecederaan dan kerosakan harta benda susulan bencana itu.
“Kami masih menilai tahap kecederaan dan kerosakan harta benda, namun saya dimaklumkan bahawa beberapa individu mengalami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, gangguan bekalan elektrik dan kebakaran dilaporkan berlaku di beberapa kawasan, selain kerosakan pada jalan raya, jambatan dan bangunan yang runtuh.
Rakaman yang disiarkan NHK menunjukkan beberapa kebakaran, jambatan rosak, sebuah kereta api kargo tergelincir daripada landasan serta jalan raya merekah selepas gempa melanda Pulau Kyushu.
Ia turut melaporkan sekurang-kurangnya 12 buah rumah runtuh.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gempa yang berlaku pukul 4.27 petang waktu tempatan direkodkan berukuran magnitud 7.1, namun gegarannya mencapai tahap tujuh iaitu tahap tertinggi pada Skala Intensiti Seismik Shindo yang digunakan di negara itu.
Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan magnitud gempa berkenaan pada 6.8.
Jepun mengalami ratusan gempa bumi setiap tahun, namun kebanyakannya tidak mengakibatkan kerosakan besar.
JMA pada mulanya mengeluarkan amaran tsunami dengan jangkaan ombak setinggi sehingga satu meter, namun menarik balik amaran itu kira-kira 6.10 petang selepas tiada aktiviti tsunami dikesan.
“Gempa bumi ini berlaku di daratan dan setakat ini tiada aktiviti tsunami dikesan. Oleh itu, kami berharap dapat menarik balik nasihat tsunami dalam masa terdekat, bergantung kepada keadaan paras laut selepas ini,” kata jurucakap JMA.
Dalam pada itu, Autoriti Kawal Selia Nuklear Jepun memaklumkan tiada sebarang kejanggalan dikesan di loji kuasa nuklear susulan gempa tersebut.
Syarikat utiliti Kyushu Electric Power pula memaklumkan kira-kira 45,000 isi rumah dan premis di wilayah Kumamoto terputus bekalan elektrik akibat kejadian itu.
Menurut syarikat berkenaan, tiga reaktor nuklear yang sedang beroperasi di wilayah itu ketika gempa berlaku terus berfungsi seperti biasa. – AFP