Gempa bumi berukuran magnitud 5.7 gegar barat laut China

Gambar Fail/RTM

BEIJING, 28 Julai – Gempa bumi berukuran magnitud 5.7 melanda daerah Xinghai di wilayah Qinghai, barat laut China, pukul 11.16 pagi waktu tempatan pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu gegaran susulan bersaiz magnitud 5.8 berlaku 18 minit kemudian, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.
  • Beberapa gegaran susulan lain termasuk magnitud 5.0; semua mempunyai kedalaman fokus 10 kilometer, berpusat di kawasan tanah tinggi jarang didiami.
  • Tiada laporan kematian atau kecederaan setakat ini, namun tujuh kampung mengalami kerosakan dan pasukan kecemasan dihantar; beberapa tanah runtuh kecil dilaporkan.

Kira-kira 18 minit selepas kejadian berkenaan, satu lagi gempa bumi berukuran magnitud 5.8 melanda kawasan sama, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (China Earthquake Networks Centre).

Pusat itu turut memaklumkan beberapa gegaran susulan berlaku pada sebelah petang termasuk satu gempa bumi bermagnitud 5.0.

Semua gempa tersebut mempunyai kedalaman fokus 10 kilometer dengan pusat gempa terletak di kawasan tanah tinggi yang jarang didiami, kira-kira 244 kilometer dari Xining, ibu negeri Qinghai.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan gegaran turut juga dirasai di Xining.

Setakat ini, pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan mengenai kematian atau kecederaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal oleh pihak berkuasa tempatan mendapati beberapa bangunan dan jalan raya di tujuh buah kampung berhampiran mengalami kerosakan pada pelbagai tahap.

Pasukan tindak balas kecemasan kini dalam perjalanan ke kawasan terpencil yang menjadi pusat gempa, manakala media kerajaan sebelum ini melaporkan gegaran turut mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh berskala kecil di lereng-lereng gunung berhampiran. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.