Banjir monsun di timur India ragut 41 nyawa, hampir sejuta penduduk terjejas

Banjir akibat hujan monsun lebat / Foto AFP

SIVASAGAR, 28 Julai – Banjir akibat hujan monsun lebat di negeri Assam, timur laut India, telah mengorbankan sekurang-kurangnya 41 orang, manakala hampir 900,000 penduduk terjejas, ketika pihak berkuasa giat menjalankan operasi menyelamat dan bantuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribuan ternakan hanyut dan lebih 1,800 kampung ditenggelamkan sejak hujan monsun bermula Jun.
  • Hujan luar biasa di hulu sungai dan taburan tempatan mencecah 436 peratus melebihi paras normal, mencetuskan banjir besar.
  • Pasukan termasuk Tentera Udara India, SDRF dan NDRF giat menyelamat; dron, bot dan hampir 150 pusat pemindahan membantu mangsa.

Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma berkata, hujan monsun yang bermula pada Jun lalu turut mengorbankan ribuan ternakan selain menenggelamkan lebih 1,800 kampung di seluruh negeri.

“Setakat ini, kita telah kehilangan 41 nyawa dan ribuan ternakan turut dihanyutkan banjir,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata hujan luar biasa di kawasan hulu sungai, ditambah dengan taburan hujan tempatan yang mencecah 436 peratus melebihi paras normal, mengakibatkan banjir besar di beberapa kampung yang tidak pernah mengalami kemusnahan sedemikian dalam sejarah moden.

Menurutnya, semua agensi termasuk Tentera Udara India, Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) dan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) bekerja sepanjang masa bagi melaksanakan operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Pihak berkuasa turut membuka hampir 150 pusat pemindahan sementara yang kini menempatkan hampir 30,000 mangsa banjir.

Dalam kenyataan berasingan, kerajaan negeri memaklumkan dron pengangkut muatan digunakan untuk menghantar bekalan bantuan ke kawasan yang sukar diakses, manakala lebih 50 bot kecil dikerahkan ke kawasan cetek yang tidak dapat dimasuki bot penyelamat biasa.

Tentera Udara India dan angkatan tentera turut menggugurkan bekalan makanan serta keperluan asas dari udara ke kawasan yang masih terputus hubungan.

Musim monsun yang berlangsung antara Jun hingga Ogos setiap tahun amat penting kepada India kerana membekalkan hujan yang diperlukan bagi menyokong sektor pertanian dan industri.

Namun, bencana berkaitan cuaca seperti banjir dan tanah runtuh sering berlaku sepanjang musim itu.

Pakar berpendapat perubahan iklim dan proses urbanisasi yang pesat telah meningkatkan kekerapan serta tahap kemusnahan bencana berkenaan.

Minggu lalu, sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan monsun di negeri Nagaland serta wilayah Kashmir yang ditadbir India. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.