
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Setiap permohonan projek pusat data baharu akan dinilai secara teliti bagi memastikan bekalan elektrik dan air negara kekal mencukupi tanpa menjejaskan keperluan pengguna tempatan.
- Penilaian bertujuan memastikan keperluan utiliti dipenuhi tanpa membebankan kapasiti sedia ada.
- Proses dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Pusat Data bersama MITI, Kementerian Digital dan Suruhanjaya Tenaga.
- Setiap permohonan disaring teliti; hanya diluluskan jika keperluan boleh dipenuhi, jika tidak ditolak.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, penilaian itu dibuat bagi memastikan keperluan utiliti bagi setiap projek mampu dipenuhi tanpa membebankan kapasiti sedia ada.
Beliau berkata, proses penilaian itu dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Pusat Data yang dianggotai, MITI Kementerian Digital serta Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan setiap permohonan akan disaring secara menyeluruh sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Kita akan pastikan setiap pelabur yang ingin masuk dinilai berdasarkan keperluan mereka. Jika keperluan itu boleh dipenuhi, kita akan meluluskan permohonan tersebut.
“Namun jika sebaliknya, kita tidak akan membebankan kapasiti sedia ada,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Susan Chemerai Anding di Dewan Negara, hari ini.