
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pelaksanaan audit algoritma politik ketika musim pilihan raya mampu membantu mewujudkan persekitaran kempen lebih sihat serta mengurangkan penyebaran naratif negatif dalam media sosial.
- Melaksanakan audit algoritma politik sepanjang pilihan raya untuk memahami nilai dan ciri algoritma yang baik.
- Menggalakkan pengundi menilai maklumat berasaskan fakta tanpa dipengaruhi sentimen atau kecenderungan melampau.
- Masyarakat perlu elakkan pembunuhan karakter, sensasi dan provokasi serta guna media sosial secara berhemah untuk demokrasi matang.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan & Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pendekatan itu dapat menggalakkan pengundi menilai maklumat berasaskan fakta tanpa dipengaruhi sentimen atau kecenderungan melampau terhadap mana-mana pihak.
“Kita perlu mewujudkan satu mekanisme yang dikenali sebagai audit algoritma politik ketika proses pilihan raya berlangsung, supaya kita dapat memahami nilai dan ciri algoritma yang baik.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan masyarakat lebih terbuka dalam menilai perbandingan fakta serta naratif, tanpa terlalu terikat kepada sesuatu bentuk kepimpinan atau kepartian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Masyarakat juga perlu mengutamakan naratif yang berasaskan fakta serta mengelakkan kandungan berbentuk pembunuhan karakter, sensasi dan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian.
Menurutnya, penggunaan media sosial secara berhemah dapat membantu memperkukuh amalan demokrasi yang matang serta memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana lebih sihat.