Polis buru suspek samun guna pistol di kedai serbaneka Sentul

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka di Jalan Sibu, Taman Wahyu menggunakan sepucuk pistol awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pekerja kedai diugut dengan pistol dan dipaksa membuka laci mesin juruwang.
  • Suspek mengambil beberapa barangan makanan dari rak sebelum menuju ke kaunter pembayaran.
  • Melarikan diri menaiki motosikal, menyebabkan kerugian dianggarkan RM1,052.
  • Polis lancarkan operasi khas; kes disiasat mengikut Seksyen 397. Orang ramai diminta memberi maklumat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi apabila seorang pekerja sebuah kedai serbaneka disamun seorang lelaki bersenjata api sebelum pengurus premis membuat laporan polis.

Katanya, suspek yang memakai baju sejuk dan seluar berwarna kelabu, topi keledar hitam serta beg silang hitam terlebih dahulu mengambil beberapa barangan makanan dari rak jualan sebelum menuju ke kaunter pembayaran.

“Suspek mengambil beberapa barangan makanan dari rak jualan sebelum menuju ke kaunter pembayaran.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuka laci mesin juruwang (POS) yang menyimpan wang hasil jualan sambil mengugut mangsa dengan menunjukkan sepucuk pistol.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang diparkir di hadapan pintu masuk premis, menyebabkan kerugian dianggarkan RM1,052,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Basri berkata, susulan laporan yang diterima, polis telah melancarkan operasi khas bagi mengesan dan menangkap suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Iskandar Zulkarnain di talian 011-33234095, Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.