Umar tekad kembali cemerlang selepas kecederaan

Atlet olahraga negara, Umar Osman akui fokus utamanya kini adalah untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 MacAtlet pecut negara, Umar Osman menjadikan kejohanan pertama yang bakal disertainya selepas Aidilfitri sebagai penanda aras prestasi musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus utama: kembali mencapai tahap kecergasan terbaik selepas berehat panjang akibat kecederaan hamstring.
  • Berlatih dengan jurulatih baharu Mohd Jironi Riduan sejak awal tahun untuk memulihkan prestasi 400 meter.
  • Menyasarkan memperbaharui rekod kebangsaan 400m dan layak ke Sukan Komanwel 2026 serta Sukan Asia 2026.
  • Sedang menimbang untuk menyertai Terbuka Singapura atau kejohanan tempatan pada April kerana tarikh bertembung.

Jelas Umar, fokus utamanya kini adalah untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan hamstring yang menjejaskan aksinya pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Atlet berusia 22 tahun itu kini menjalani latihan bersama jurulatih baharu, Mohd Jironi Riduan sejak awal tahun ini bagi memulihkan semula prestasinya dalam acara 400 meter (m).

“Kejohanan saya yang pertama untuk tahun ini adalah terbuka singapura pada bulan empat jadi saya perlu membuat persiapan yang rapi untuk saya dapatkan balik saya punya rentak pada kejohanan itu dan saya cuba buat yang terbaik bagi merebut slot untuk Sukan Asia nanti,” katanya.

Beliau berkata keputusan pada kejohanan tersebut juga penting dalam menentukan peluang memperbaharui rekod kebangsaan 400m miliknya selain memburu kelayakan ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.

Dalam pada itu, Umar turut mempertimbangkan sama ada menyertai Terbuka Singapura atau kejohanan tempatan pada April ini, namun keputusan akhir masih belum dibuat kerana tarikh kedua-dua kejohanan itu bertembung.

Pemegang rekod kebangsaan 400m dengan catatan 46.09 saat yang dilakar pada 2023 itu juga berlatih bersama pelari 800m negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari bagi mengekalkan motivasi serta rentak latihan.

Pada Sukan SEA 2025, Umar menamatkan perlumbaan 400m di tempat kelima dengan catatan 47.13 saat, manakala dalam acara 800m beliau berada di kedudukan keempat.