
MELBOURNE, 15 Januari– Juara bertahan, Jannik Sinner akan membuka kempen Terbuka Australia menentang pemain Perancis ranking ke-94 dunia, Hugo Gaston, dalam usahanya memburu gelaran ketiga berturut-turut di Melbourne Park.
- Jannik Sinner buru gelaran ketiga berturut-turut di Terbuka Australia, dijangka laluan lebih mudah minggu pertama.
- Novak Djokovic sasar gelaran Grand Slam ke-25 untuk cetak rekod baharu dunia.
- Sinner mungkin berdepan Joao Fonseca pada pusingan ketiga jika pemain muda Brazil cergas sepenuhnya.
- Aryna Sabalenka dan Iga Swiatek dilihat antara pencabar utama di sebelah wanita, dengan Rybakina kembali beraksi hebat.
Pemain pilihan utama lelaki, Carlos Alcaraz, dijadual berdepan wakil tuan rumah, Adam Walton manakala juara 10 kali Terbuka Australia, Novak Djokovic yang juga pilihan keempat, akan menentang pemain Sepanyol, Pedro Martinez pada pusingan pertama kejohanan Grand Slam yang bermula Ahad ini.
Djokovic, yang memburu gelaran Grand Slam ke-25 untuk mencipta rekod baharu dunia, berpotensi bertemu pemain Itali, Lorenzo Musetti di suku akhir sebelum kemungkinan pertembungan separuh akhir menentang Sinner.
Sinner dijangka melalui laluan lebih mudah pada minggu pertama, namun pertembungan menarik pada pusingan ketiga menentang pemain muda Brazil, Joao Fonseca berpotensi berlaku sekiranya pemain berusia 19 tahun itu cergas sepenuhnya.
Dalam saingan wanita, pemain pilihan utama, Aryna Sabalenka akan menentang wildcard dari Perancis, Tiantsoa Rakotomanga dan berpeluang bertemu pilihan ketiga, Coco Gauff pada separuh akhir.
Sementara itu, pilihan kedua, Iga Swiatek akan bertemu pemain kelayakan dengan kemungkinan berdepan Elena Rybakina di suku akhir.
Rybakina, yang kembali ke prestasi terbaik selepas menjuarai WTA Finals pada November lalu, membuka kempen menentang pemain Slovenia, Kaja Juvan, dan dilihat sebagai antara pencabar utama kejuaraan.
Pemain tuan rumah, Thanasi Kokkinakis menarik diri daripada saingan lelaki selepas mengalami kecederaan bahu ketika beraksi di Adelaide International. -REUTERS