Syahir semakin cergas, yakin capai prestasi kemuncak menjelang Sukan Asia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September – Tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi kini mencapai tahap kecergasan 90 peratus dan semakin yakin mampu berada pada prestasi kemuncak apabila acara sepak takraw membuka tirai saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syahir pulih daripada kecederaan otot kaki kanan; prestasi meningkat, kembali kepada kelajuan dan konsistensi servis.
  • Baki masa sebelum berlepas dimanfaatkan untuk memperkemas servis serta meningkatkan tahap kecergasan.
  • Jurulatih dan ISN puji proses pemulihan; barisan kejurulatihan sediakan pilihan pemain supaya pasukan kekal kompetitif, sasar dua pingat emas.

Syahir semakin pulih daripada kecederaan otot kaki kanan yang dialami sejak Mei lalu, dengan prestasinya meningkat ketara terutama dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.

Dia kini mula mendapatkan semula kelajuan serta konsistensi servis, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk kembali menggalas tanggungjawab sebagai tekong utama negara.

“Setakat ini prestasi saya belum 100 peratus, dalam 90 peratus macam itu tetapi itu sudah cukup memberikan keyakinan kepada saya.

“Berbeza dengan minggu lepas dan beberapa bulan sebelum ini, servis saya agak kurang konsisten.

“Alhamdulillah, minggu-minggu terakhir ini saya dapat balik dari segi balingan dan servis,” katanya ketika ditemui pada program Gelanggang Kita – Projek Komuniti Sepak Takraw League (STL) 2026.

Menurut Syahir, baki masa sebelum berlepas ke Jepun akan dimanfaatkan untuk memperkemas servis serta meningkatkan tahap kecergasan bagi memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik apabila saingan bermula.

Sebelum ini, tahap kecergasan Syahir hanya sekitar 70 peratus selepas mengalami kecederaan ketika beraksi pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumpur.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, perkembangan positif Syahir selepas menjalani beberapa siri pemulihan dan rawatan bersama Institut Sukan Negara (ISN) memberi keyakinan kepada pasukan.

“Alhamdulillah, kalau kita lihat dari segi perkembangan atau progres Syahir selepas beberapa siri pemulihan dan rawatan daripada pihak ISN, kita nampak proses pemulihannya semakin baik dan tahap kecergasan semakin meningkat.

“Kalau kita lihat daripada sesi pemantauan semasa latihan dan perlawanan terakhir Liga Regu Sukan Asia, momentum Syahir semakin meningkat dari semasa ke semasa. Bagi saya, ini perkembangan yang positif untuk Syahir dan pasukan negara,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Jais berkata, barisan kejurulatihan bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN sudah menyediakan beberapa pilihan sekiranya keadaan fizikal Syahir tidak mengizinkan.

Katanya, pertukaran pemain boleh dilakukan mengikut keperluan bagi memastikan barisan negara kekal kompetitif dan setiap pemain berada pada tahap prestasi konsisten sebelum saingan bermula.

Malaysia dijadual beraksi dalam acara regu dan regu berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 20 September hingga 3 Oktober di Gimnasium Nagoya City Mizuho.

PSM menyasarkan dua pingat emas pada edisi kali ini selepas skuad negara membawa pulang dua pingat perak menerusi acara regu dan regu berpasukan pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.