
KUALA LUMPUR, 12 September – Ketua jurulatih skuad bola jaring Wilayah Persekutuan (WiPers), Norizan Rajab memuji semangat juang luar biasa dan komitmen tinggi dipamerkan anak buahnya sehingga berjaya merangkul pingat emas ke-10 pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Ketahanan mental pemain muda yang tidak goyah, mampu bertahan ketika diasak dan ketika permainan dibawa ke masa tambahan.
- Kejayaan hasil latihan intensif dan komitmen tinggi pemain, menghasilkan penyudah baik pada saat-saat akhir.
- Penyesuaian jadual dan perlawanan persahabatan berintensiti tinggi membina keserasian dalam masa singkat sebelum temasya.
Beliau bangga dengan ketahanan mental barisan pemain mudanya yang tidak goyah walaupun diasak hebat lawan dan diheret ke masa tambahan sebelum berjaya menewaskan pencabar tradisi, Johor, dalam aksi perlawanan akhir yang cukup mendebarkan.
Menurut beliau, kejayaan mempertahankan kejuaraan berprestij itu adalah hasil kesungguhan para pemain yang sanggup melalui fasa latihan intensif serta cabaran getir sepanjang tempoh persiapan.
“Saya amat bersyukur kerana anak buah saya berjaya melakukan penyudah yang baik dan mampu bertahan sehingga saat-saat akhir untuk meraih emas ini.
“Pemain menunjukkan komitmen yang amat tinggi walaupun latihan sebelum ini agak keras. Saya sedar barisan pemain muda ini belum mempunyai kekuatan mental yang kukuh, jadi saya tekankan elemen tersebut.
“Alhamdulillah, apa yang kita latih membuahkan hasil dan mereka membuktikan kemampuan mereka di gelanggang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Pasukan Bola Jaring SUKMA 2026, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan kekangan jadual yang terpaksa dirombak tiga bulan sebelum temasya, ekoran ketiadaan tiga tonggak utama yang menyertai skuad kebangsaan bagi kempen kelayakan Piala Dunia di Hong Kong.
Bagaimanapun, sikap profesional dan kesungguhan barisan pemain membolehkan keserasian mantap dibentuk dalam tempoh singkat iaitu sebulan sebelum temasya berlangsung, selain turut dibantu perlawanan persahabatan berintensiti tinggi bersama pasukan PKNS dan kelab lelaki, KOSTA (Kejohanan Olahraga dan Sukan Tahunan)
Kejayaan di Selangor menyaksikan skuad WiPers terus mendominasi selaku ‘ratu bola jaring’ SUKMA dengan rekod 10 emas, bermula pada edisi 2000, 2004 dan 2006, sebelum Norizan terus membimbing pasukan mencipta rentetan kejuaraan pada 2010, 2011, 2013, 2018, 2022, 2024 dan 2026.