Akhma mahu tebus kekecewaan dalam Piala Nations

Akhma semasa memenangi Anugerah Emas Kementerian Pendidikan pada Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2025/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September – Atlet bola jaring negara, Siti Nur Hidayatul Akhma Suhaimi berazam mempamerkan aksi luar biasa, sekali gus membuktikan potensi sebenarnya menjelang Kejohanan Piala Nations di Singapura, hujung November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berazam menebus kekecewaan selepas kedudukan keempat di Kejohanan Bola Jaring Asia, melihat kejohanan akan datang sebagai peluang tunjuk potensi.
  • Mengakui persaingan antarabangsa semakin sengit namun bertekad untuk terus berkembang dan tingkatkan prestasi peribadi.
  • Latihan diteruskan secara berfasa selepas SUKMA, mengekalkan momentum fizikal dan mental menghadapi saingan antarabangsa.
  • Skuad diperkuat tiga tonggak muda berbakat, menambah tenaga dan persaingan untuk capai kejayaan.

Selepas sekadar menduduki tempat keempat dalam Kejohanan Bola Jaring Asia di Hong Kong Ogos lalu, atlet berusia 20 tahun itu melihat kejohanan di seberang tambak sebagai medan terbaik untuk menebus kekecewaan dan melangkah setapak ke hadapan dalam kariernya.

Meskipun mengakui cabaran di pentas antarabangsa akan menjadi semakin sengit, ia bukan penghalang untuknya terus berkembang.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk tingkatkan prestasi. Saya tahu selepas ini cabaran akan menjadi lebih hebat, jadi ini masa terbaik untuk saya ‘step up’ dan tunjukkan bakat sebenar.

“Mungkin sebelum ini ada potensi atau bakat saya yang masih belum terserlah, jadi inilah waktunya untuk saya tonjolkan semuanya di gelanggang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Pasukan Bola Jaring Wilayah Persekutuan SUKMA 2026, di sini.

Mengulas mengenai persediaan selepas tamat saingan Sukan Malaysia (SUKMA), Akhma berkata latihan tetap diteruskan secara berfasa tanpa henti bagi memastikan momentum dan kecergasan fizikal pemain berada di tahap optimum.

“Buat masa sekarang, kami masih meneruskan latihan secara berfasa. Kami tidak mahu ada jurang terlalu jauh dari segi persediaan fizikal dan mental menjelang Piala Nations nanti.

“Selain latihan taktikal di dalam gelanggang, kami turut menjalani sesi di gimnasium, selain pihak kejurulatihan juga memberi fokus kepada aspek pemulihan serta sesi psikologi sukan,” katanya.

Selain Akhma, cabaran skuad negara di Singapura turut diperkuat dengan kehadiran tiga lagi tonggak muda berbakat iaitu Nursolieha Alieya Hizal, Adalia Jasmine Mustazal dan Nur Aqidah Ramlan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.