SUKMA Selangor: Earl Isaac atasi gementar, hadiahkan emas buat Sabah

Foto RTM

SERDANG, 16 Ogos — Kegusaran menghadapi saingan sengit pada penampilan sulung tidak menghalang atlet Sabah, Earl Isaac Mitzler Fredolin, menghadiahkan pingat emas acara lontar peluru lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atlet berusia 18 tahun berdepan rasa gementar sebelum bertanding; ketenangan bantu lontaran terbaik 15.11 meter.
  • Kurang pendedahan kejohanan membuatkannya tidak mengetahui kekuatan pesaing negeri-negeri lain.
  • Kebimbangan bertukar menjadi keyakinan sehingga beliau mengungguli saingan.
  • Kok Hui Ying menjuarai 10,000m jalan kaki wanita (55:55.06), raih emas ketiga SUKMA dan sasar emas 20km.

Atlet berusia 18 tahun dari Tuaran itu mengakui berdepan rasa gementar sebelum turun beraksi, namun ketenangan akhirnya membantu beliau menghasilkan lontaran terbaik sejauh 15.11 meter untuk menewaskan wakil Sarawak, Jorez Puang Yi Jun yang mencatat 14.94m dan Hii Seng Yan dengan 13.94m.

Lebih menarik, Earl mengakui kurang mendapat pendedahan dalam kejohanan sebelum ini menyebabkan beliau tidak mengetahui kekuatan pencabar dari negeri-negeri lain.

“Sebenarnya saya agak risau juga untuk perjalanan SUKMA ini sebab ia merupakan salah satu kejohanan yang besar.

“Sebelum pergi SUKMA pun saya kurang kejohanan. Jadi saya takut juga sebab tidak dapat tengok pesaing-pesaing lain dari negeri-negeri lain sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, kebimbangan itu bertukar menjadi keyakinan apabila Earl berjaya mengungguli saingan untuk menghadiahkan emas kepada Sabah pada penampilan sulungnya di temasya berkenaan.

Sementara itu, wakil Wilayah Persekutuan, Kok Hui Ying, turut mencuri tumpuan apabila menjuarai acara 10,000 meter jalan kaki wanita, sekali gus mengumpul pingat emas ketiganya sepanjang penampilan di SUKMA.

Hui Ying yang mengakui edisi kali ini merupakan SUKMA terakhirnya menewaskan Yapp Chia Ling Charlene dari Johor dan Tan Li Ren dari Melaka selepas mencatat masa 55 minit 55.06 saat.

“SUKMA ini adalah yang ketiga dan juga yang terakhir. Jadi saya mahu memberikan segala yang terbaik untuk membawa pulang dua emas untuk Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mahasiswi Xiamen University itu masih berpeluang menambah satu lagi pingat emas apabila dijadualkan beraksi dalam acara 20 kilometer jalan kaki pada Selasa depan.

“Saya tidak mahu meninggalkan sebarang penyesalan untuk SUKMA terakhir ini,” katanya.

Hui Ying sebelum ini meraih emas acara 5km pada SUKMA 2022, selain satu emas dan satu perak pada edisi Sarawak, menjadikan emas yang diraih hari ini sebagai koleksi emas ketiganya dalam temasya berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.