
LANGKAWI, 16 Ogos — Pelari dari Kuala Lumpur, Kar Kin Teh, 33, muncul juara kategori 100 kilometer lelaki pada Langkawi International Ultra Run 2026 selepas menamatkan cabaran jarak jauh itu dalam masa 11 jam 15 minit 57 saat.
- Kar Kin Teh ambil bahagian buat kali pertama dan menjadikan acara ini persediaan untuk Mainova Frankfurt Marathon pada 25 Oktober.
- Kesukaran berlaku selepas 45 hingga 50 kilometer; beliau terus lari dan elak berjalan.
- LIUR 2026 menghimpunkan 737 peserta dari 20 negara dengan tujuh kategori, sokongan LADA mengukuhkan Langkawi sebagai destinasi sukan.
Majlis pelepasan peserta kategori 100 kilometer berlangsung pada Sabtu, pukul 6.00 petang, menandakan bermulanya cabaran yang menuntut ketahanan fizikal dan mental peserta.
Kar Kin Teh yang juga seorang ahli perniagaan menyertai kejohanan itu buat kali pertama di Langkawi.
Lebih menarik, kejayaan tersebut turut menjadi sebahagian daripada persiapannya untuk menyertai Mainova Frankfurt Marathon di Jerman pada 25 Oktober depan.
Mengulas cabaran yang dihadapinya, beliau berkata jarak larian yang jauh menjadi ujian paling sukar, terutama selepas melepasi 45 hingga 50 kilometer.
“Paling sukar ialah saya tidak pernah lari sejauh ini. Bila masuk 45 hingga 50 kilometer, saya menghadapi kesukaran, tetapi saya teruskan juga, teruskan lari dan elak untuk berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di Dataran Lang, Langkawi, hari ini.
Langkawi International Ultra Run 2026 edisi ketujuh menghimpunkan 737 peserta dari 20 negara, dengan 676 daripadanya merupakan peserta tempatan manakala selebihnya terdiri daripada pelari antarabangsa.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan, termasuk acara ultra 100 dan 50 kilometer, selain kategori 21, 10 dan lima kilometer serta dua kategori Ultra Kids.
Penganjuran yang mendapat sokongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu turut mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai antara destinasi pelancongan sukan di rantau ini.