KKM susun semula strategi pusat jagaan warga emas

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka dan menyusun semula strategi bagi mengawal selia serta menyokong perkembangan pusat jagaan warga emas di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akta 802 telah diwartakan pada 29 Mac 2018 tetapi masih belum dikuatkuasakan.
  • Kekangan termasuk kapasiti penguatkuasaan dan sumber manusia serta perlukan pelaksanaan yang praktikal dan lestari.
  • Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) di bawah JKM masih relevan untuk kawal selia kualiti dan keselamatan.
  • KKM dan KPWKM akan mengadakan perbincangan pegawai untuk menyelaras peranan dan memperhalusi hala tuju penguatkuasaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pendekatan itu diambil susulan kekangan untuk menguatkuasakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 (Akta 802).

Beliau berkata Akta 802 yang digubal bagi mengawal selia kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan warga emas swasta melalui pelesenan, penetapan standard dan penguatkuasaan telah diwartakan pada 29 Mac 2018, namun masih belum dikuatkuasakan.

“Susulan pewartaan Akta 802, KKM telah menjalankan langkah-langkah persediaan termasuk menyiapkan draf peraturan dan garis panduan di bawah itu, namun begitu disebabkan beberapa kekangan dan cabaran semasa KKM masih belum dapat menguatkuasakan akta tersebut.

“Antara kekangan yang dihadapi ialah kapasiti penguatkuasaan termasuk keupayaan sumber manusia dan ingin memastikan pelaksanaan mengikuti praktikaliti dan kelestarian yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai penguatkuasaan Akta 802 pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Hanifah Hajar menjelaskan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih relevan dan boleh diguna pakai untuk mengawal selia pusat jagaan warga emas yang beroperasi di Malaysia, termasuk daripada aspek kualiti dan keselamatan jagaan.

Dalam hal itu, beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertanggungjawab terhadap aspek kebajikan penghuni, manakala KKM bersedia membantu dalam aspek kesihatan bagi memastikan kedua-dua perkhidmatan dapat diselaraskan dengan baik.

Katanya, KKM akan mengadakan perbincangan di peringkat pegawai bersama KPWKM bagi memperhalusi hala tuju pusat jagaan warga emas berkaitan Akta 506 dan Akta 802.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.