Fun Run MADANI hidupkan semula aktiviti komuniti Teluk Bahang

Foto RTM

TELUK BAHANG, 16 Ogos — Selepas lebih sedekad menyepi daripada penganjuran acara komuniti berskala besar, kawasan Teluk Bahang kembali meriah menerusi penganjuran Fun Run MADANI Teluk Bahang 2026, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hampir 450 peserta menyertai larian tiga, lima dan 10 kilometer di Taman Negara Teluk Bahang.
  • Objektif acara: promosi gaya hidup sihat, eratkan hubungan komuniti dan merancakkan pelancongan domestik.
  • Acara disertai aktiviti zumba, pameran penaja dan cabutan bertuah, tunjukkan potensi Teluk Bahang sebagai hab komuniti berdaya tarikan.

Hampir 450 peserta menyertai larian yang menawarkan tiga kategori jarak iaitu tiga, lima dan 10 kilometer di Taman Negara Teluk Bahang.

Pengerusi MPKK Telok Awak, Zul Saad berkata penganjuran julung kali itu bukan sahaja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti serta membantu merancakkan sektor pelancongan domestik di kawasan berkenaan.

“Tujuan utamanya untuk mengeratkan hubungan antara MPKK Teluk Awak dengan komuniti Teluk Bahang dan Teluk Awak. Satu lagi adalah untuk membantu pelancongan di Pulau Pinang.

“Alhamdulillah, sambutan begitu menakjubkan kerana tidak pernah kita mendapat penyertaan seramai ini,” katanya ketika ditemui media di Teluk Bahang.

Peserta turut disajikan dengan aktiviti pendaftaran dan sesi senam zumba, selain taklimat berkaitan aspek keselamatan dan kecemasan khas untuk komuniti setempat.

Dalam pada itu, inisiatif berkenaan digerakkan oleh anak jati Teluk Bahang, Amelia Nasser, selaku penerbit dan pengarah PBFilms Sdn. Bhd., yang menyumbangkan idea, kepakaran industri kreatif serta tenaga kerja dengan kerjasama MPKK Telok Awak dan VibeWorks.

Menurut Amelia, penganjuran program itu turut menjadi wadah untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai kaum serta menghidupkan kembali aktiviti komuniti di Teluk Bahang.

“Ini dapat menyatupadukan semua kaum dan bangsa. Sebenarnya, komuniti di Teluk Bahang sudah lebih 10 tahun tidak mempunyai acara seperti ini.

“Kebanyakannya aktiviti datang daripada komuniti setempat yang bergerak secara berasingan seperti Rukun Tetangga dan MPKK yang menjaga kawasan ini. Insya-Allah, nampaknya kita berjaya untuk tahun ini dan kita akan adakan lebih banyak aktiviti selepas ini untuk warga Teluk Bahang,” katanya.

Acara itu turut diserikan dengan pameran reruai penaja dan cabutan bertuah, sekali gus membuktikan potensi Teluk Bahang sebagai hab aktiviti komuniti yang aktif serta berdaya tarikan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.