
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
- Mahkamah menemukan dakwaan berat sebelah terhadap pelantikan adalah spekulatif.
- Badan Peguam tidak mempunyai locus standi; gagal tunjuk pelanggaran Seksyen 5(1)(e) atau kepentingan terjejas.
- JAC bukan pihak melantik hakim; pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas berpuas hati dakwaan wujud risiko berat sebelah berhubung pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin dalam JAC adalah bersifat spekulatif.
Mahkamah turut mendapati Badan Peguam tidak mempunyai kedudukan undang-undang atau locus standi untuk memulakan semakan kehakiman kerana gagal membuktikan berlaku pelanggaran Seksyen 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 atau kepentingannya terjejas akibat pelantikan itu.
Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa anggota yang dilantik mestilah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan dan pelantikan dibuat Perdana Menteri.
Mahkamah berpuas hati kedua-dua syarat berkenaan dipenuhi dalam pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin.
Hakim Norliza turut menjelaskan bahawa JAC bukan pihak yang melantik hakim, sebaliknya pelantikan hakim dibuat secara perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Mahkamah juga mendapati seorang anggota JAC tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi proses pelantikan hakim secara bersendirian.
Terdahulu, Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 12 Februari lalu, dengan menamakan Tan Sri Ahmad Terrirudin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, JAC dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara yang dipohon ialah perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC pada 15 November 2025.
Badan Peguam turut memohon supaya JAC diarahkan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Tan Sri Ahmad Terrirudin serta mendedahkan dapatan siasatan kepada umum.
Selain itu, badan berkenaan memohon JAC mendedahkan minit mesyuarat yang diadakan pada 16 Mei 2025, selain beberapa perintah lain termasuk quo warranto, mandamus dan perintah larangan.
Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan, serta peguam Steven Thiru, Datuk S. Ambiga dan Zainur Zakaria yang mewakili Badan Peguam.
Tan Sri Ahmad Terrirudin dilantik sebagai anggota JAC bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 November 2025 hingga 14 November 2027, mengikut Seksyen 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Beliau mengisi kekosongan selepas persaraan wajib Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof pada usia 66 tahun, selepas diberikan lanjutan tempoh perkhidmatan selama enam bulan.