SUKMA 2026: Terengganu sasar 61 emas, impi kelompok tiga terbaik

Kontinjen Terengganu menyasarkan peningkatan prestasi dengan sasaran 61 emas/Foto JBS Terengganu

KUALA NERUS, 11 Ogos — Terengganu menyasarkan 61 pingat emas dan tempat dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang membuka tirai 15 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontinjen Terengganu membabitkan 799 atlet dan pegawai, menyertai 35 daripada 37 sukan.
  • Persiapan pasukan berada pada tahap 90 hingga 95 peratus, pengurus dan jurulatih diminta capai sasaran ditetapkan dahulu.
  • Sukan utama sandaran termasuk olahraga (Mohamad Amin, Izzatul), sukan tempur, berbasikal, mountain bike dan layar.

Seramai 799 atlet dan pegawai akan menggalas cabaran Terengganu pada temasya kali ini dengan kontinjen negeri itu menyertai 35 daripada 37 sukan yang dipertandingkan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, persiapan setiap pasukan kini berada pada tahap antara 90 hingga 95 peratus.

“Setakat ini, persiapan setiap pasukan berada pada tahap 90 hingga 95 peratus untuk bertanding di SUKMA akan datang.

“Ingatan saya kepada semua pengurus pasukan dan jurulatih, kita perlu mencapai sasaran yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kita fokus untuk mendapatkan pingat emas yang lebih daripada setiap pasukan,” katanya.

Dalam acara olahraga, beberapa atlet muda menjadi sandaran Terengganu untuk menyumbang pingat emas termasuk Mohamad Amin, pemegang rekod acara 110 meter lari berpagar.

Pengurus Pasukan Olahraga SUKMA Terengganu, Kamarizuan Kamaruddin berkata, Izzatul turut diberi harapan untuk meraih emas dalam acara 100 dan 200 meter wanita.

“Tahun ini, ramai atlet muda yang kita harapkan dapat menyumbang pingat. Antaranya, Mohamad Amin, pemegang rekod acara 110 meter lari berpagar yang disasarkan untuk meraih pingat emas di temasya SUKMA.

“Selain itu, Izzatul turut diberi harapan untuk menyumbang pingat emas dalam acara 100 dan 200 meter wanita,” katanya.

Selain olahraga, sukan tempur seperti silat, taekwondo, karate dan tinju turut menjadi sandaran Terengganu.

Acara berbasikal, mountain bike (MTB) dan layar juga diharap menyumbang pingat, selain beberapa acara individu dan berpasukan.

Pada SUKMA Sarawak 2024, Terengganu menduduki tempat kelima keseluruhan. Kali ini, kontinjen negeri itu menyasarkan peningkatan prestasi dengan sasaran 61 emas dan kelompok tiga terbaik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.