Skuad bola sepak wanita Iran ‘singgah’ Kuala Lumpur – AFC

Pasukan Iran ketika bertemu Filipina dalam aksi peringkat kumpulan Piala Asia Wanita/ Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan skuad bola sepak wanita kebangsaan Iran kini berada di Kuala Lumpur, di tengah-tengah laporan mengenai beberapa pemain memohon suaka di Australia.

RINGKASAN BERITA AI
  • AFC akan menyediakan sokongan, kebajikan dan keselamatan pemain sehingga urusan perjalanan dimuktamadkan.
  • AFC tidak mendedahkan lokasi hotel atas faktor keselamatan dan menyeru media menghormati privasi pasukan.
  • Tujuh pemain dilaporkan memohon suaka di Australia; polis Australia pindahkan mereka ke lokasi selamat, baki pemain dialu-alukan kekal.

AFC memaklumkan pasukan itu sedang menginap di sebuah hotel di ibu negara.

“Kami akan menyediakan segala sokongan yang diperlukan kepada pasukan sepanjang mereka berada di sini sehingga urusan perjalanan seterusnya dimuktamadkan,” menurut kenyataan AFC kepada Bernama.

AFC turut menegaskan kebajikan serta keselamatan pemain dan pegawai akan terus menjadi keutamaan, selain menyeru media supaya menghormati privasi pasukan.

Setiausaha Agung AFC, Windsor John bagaimanapun tidak mendedahkan nama atau lokasi hotel berkenaan atas faktor keselamatan.

“Maaf, atas faktor keselamatan, kami tidak dapat mendedahkan lokasi hotel,” katanya.

Terdahulu, rakaman ketibaan skuad wanita Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tular di media sosial.

Menurut Kedutaan Iran di Malaysia, pemain yang menyertai kempen Piala Asia Wanita AFC 2026 di Australia dijangka pulang ke Iran tertakluk kepada ketersediaan penerbangan serta pembukaan semula ruang udara negara itu.

“Mereka mahu pulang ke tanah air,” kata pihak kedutaan.

Perkembangan itu selepas wujud laporan menyatakan tujuh pemain skuad berkenaan memohon suaka di Australia.

Tindakan itu dibuat kerana bimbang berdepan penganiayaan jika pulang ke Iran selepas tidak menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan pembukaan pada 3 Mac lalu.

Media melaporkan Menteri Imigresen Australia, Tony Burke berkata, pemain yang memohon suaka telah dipindahkan ke lokasi selamat oleh polis Australia.

Baki pemain telah dimaklumkan bahawa mereka dialu-alukan untuk terus berada di negara itu.