Seni bela diri bentuk disiplin generasi muda, bukan untuk membuli

Program Malaysia Martial Arts & Combat Sports Exhibition 2026 (MACX#1)

KUALA LUMPUR, 14 November – Malaysia Martial Arts & Combat Sports Exhibition 2026 (MACX#1) yang julung kali diadakan dilihat sebagai medium dalam membentuk disiplin, mengawal emosi dan meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan generasi muda, bukannya digunakan untuk membuli atau mencederakan orang lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguasaan seni bela diri mesti disertai nilai tanggungjawab dan kawalan diri agar kemahiran digunakan dengan cara betul.
  • Program ini menyampaikan mesej perpaduan serta membentuk komuniti berkongsi nilai disiplin dan hormat-menghormati.
  • Penglibatan kanak-kanak seawal usia lima membantu membentuk sahsiah, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan masa lapang bermakna.
  • Seni bela diri difahami sebagai kemahiran mempertahankan diri, bukan alat menyerang, mangsa buli perlu dididik berani bersuara tanpa kekerasan.

Penaung MACX#1, Alyas Roy Amir berkata, penguasaan seni mempertahankan diri perlu disertai nilai tanggungjawab serta kawalan diri bagi memastikan kemahiran itu digunakan dengan cara yang betul.

“Penganjuran MACX#1 yang menghimpunkan pelbagai disiplin seni bela diri turut bertujuan menyampaikan mesej perpaduan dan membentuk komuniti yang berkongsi nilai disiplin serta hormat-menghormati”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika program Malaysia Martial Arts & Combat Sports Exhibition 2026 (MACX#1) di ibu negara hari ini.

Penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti berkenaan seawal usia lima tahun juga mampu membantu membentuk sahsiah, meningkatkan kemahiran kepimpinan serta menggalakkan penggunaan masa lapang dengan aktiviti lebih bermanfaat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MACX#1, Amirul Iman berkata, seni bela diri perlu difahami sebagai kemahiran mempertahankan diri dan bukan alat untuk melakukan serangan atau keganasan.

“Kanak-kanak yang berdepan situasi buli perlu dididik supaya berani bersuara dan menyatakan pendirian bagi mempertahankan diri tanpa bertindak menggunakan kekerasan,” katanya.

MACX#1 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 November di AEON Mall AU2, Setiawangsa menghimpunkan tiga disiplin utama iaitu Karate, Silat dan Taekwondo.

Penganjuran itu turut menampilkan 5th AEON–IMAKARA Karate Kids Championship 2026 serta pengenalan filem tempatan Bully Is Not A Joke yang membawa mesej kesedaran mengenai gejala buli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.