
KUALA LUMPUR, 14 November – Ketua jurulatih skuad pingpong negara, Beh Lee Wei berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain pada Kejohanan Pingpong Asia Tenggara 2026, meskipun masih terdapat beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan menjelang cabaran lebih besar tahun depan.
- Malaysia meraih dua emas dan tiga perak di kejohanan, termasuk kemenangan regu campuran dan regu wanita.
- Jurulatih menekankan perlunya meningkatkan keyakinan pemain agar prestasi lebih konsisten dalam perlawanan.
- Tumpuan kini persiapan Sukan SEA 2027, perbincangan dengan MSN dan pendedahan WTT untuk kumpul mata ranking serta pengalaman.
Malaysia menutup kempen dengan dua pingat emas dan tiga perak menerusi acara regu campuran, regu wanita, berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan perseorangan wanita.
Dua pingat emas disumbangkan Javen Choong-Karen Lyne Anak Dick dalam acara regu campuran selepas menewaskan pasangan Singapura, Koen Pang Yew En-Ser Lin Qian, 3-1.
Satu lagi emas hadir menerusi regu wanita, Karen Lyne Anak Dick-Tee Ai Xin yang menundukkan gandingan Indonesia, Almaira Nebuchadnezzar-Siti Aminah, juga dengan keputusan 3-1.
Pingat perak pula diraih menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita selepas masing-masing tewas kepada Vietnam dan Singapura dengan keputusan 1-3, selain Tee Ai Xin yang tewas kepada pemain Thailand, Jinnipa Sawettabut, 3-4 dalam final perseorangan wanita.
Lee Wei berkata, komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain sepanjang kejohanan menjadi perkembangan positif, namun aspek keyakinan ketika beraksi perlu diberi perhatian bagi memastikan prestasi lebih konsisten.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan komitmen yang diberikan semua pemain. Bagaimanapun, masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki, terutama dari segi keyakinan untuk memenangi perlawanan kerana terlalu banyak berfikir kadangkala boleh menjejaskan prestasi mereka,”katanya.
Mengulas perancangan seterusnya, beliau berkata tumpuan kini terarah kepada persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 dengan sasaran membantu Malaysia meraih pingat emas.
Perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) akan diadakan minggu depan bagi merangka persiapan pasukan podium, termasuk aspek latihan, pembangunan pemain serta penyertaan dalam kejohanan antarabangsa World Table Tennis (WTT).
Beliau menyifatkan pendedahan menerusi kejohanan WTT penting untuk meningkatkan pengalaman dan mengumpul mata ranking pemain, meskipun mereka berdepan kemungkinan tersingkir pada peringkat awal.
“Penyertaan dalam kejohanan WTT penting untuk pemain mengumpul mata ranking dan mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa. Walaupun mereka mungkin tersingkir pada peringkat awal, pengalaman itu tetap bernilai untuk perkembangan pemain,” katanya.
Selain itu, Kejohanan Kebangsaan di Ipoh pada Disember ini bakal menjadi antara medan penilaian prestasi pemain sebelum pemilihan wakil negara bagi kejohanan akan datang.