
LONDON, 27 April – Atlet Kenya, Sabastian Sawe, mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama mencatat masa bawah dua jam dalam acara maraton selepas menjuarai Maraton London dengan catatan satu jam 59 minit 30 saat pada Ahad.
- Sabastian Sawe tidak pernah tewas dalam maraton yang disertainya dan memecahkan rekod dunia milik mendiang Kelvin Kiptum.
- Tigst Assefa memecah rekod dunia kategori wanita walaupun hampir gagal menamatkan perlumbaan akibat pacemaker melintasi laluan.
- Marcel Hug dan Catherine Debrunner menjuarai acara kerusi roda, Hug menang keenam berturut-turut manakala Debrunner raih kemenangan ketiga berturut-turut.
Pelari Ethiopia, Yomif Kejelcha, memberi saingan sengit sepanjang laluan sejauh 42.195 kilometer sebelum ketinggalan di penghujung perlumbaan dan menamatkan saingan di tempat kedua dalam penampilan sulung maratonnya dengan catatan 1:59.41, manakala pelari Uganda, Jacob Kiplimo, meraih tempat ketiga dengan masa 2:02.28.
Sawe, 31, yang belum pernah tewas dalam mana-mana perlumbaan maraton disertainya, memecahkan rekod dunia yang sebelum ini milik mendiang Kelvin Kiptum yang mencatat masa dua jam 35 saat pada Maraton Chicago, Oktober 2023.
Kiptum meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kenya pada 2024 ketika berusia 24 tahun. Selepas perlumbaan, Sawe meluahkan keterujaannya selepas berjaya memecahkan rekod tersebut.
“Saya tidak percaya, namun saya membuat persiapan rapi dan hasil latihan akhirnya membuahkan kejayaan,” katanya.
Sementara itu, pelari Ethiopia, Tigst Assefa, turut memecahkan rekod dunia kategori wanita sahaja miliknya ketika merangkul kejuaraan, meskipun hampir gagal menamatkan perlumbaan susulan insiden di saat akhir apabila pelari penanda rentak melintasi laluannya di stesen minuman.
Dalam satu lagi insiden, pelari Kenya, Hellen Obiri, terpaksa mengelak apabila seorang lagi penanda rentak melintasi laluannya berhampiran Tower Bridge.
Assefa, 29, kemudian meninggalkan Obiri dan seorang lagi pelari Kenya, Joyciline Jepkosgei, di penghujung perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 2:15.41, sekali gus memperbaharui rekod 2:15.50 yang dilakarnya di London tahun lalu.
Obiri menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 2:15.53, manakala Jepkosgei di tempat ketiga dengan catatan 2:15.55. Dalam acara kerusi roda, atlet Switzerland, Marcel Hug dan Catherine Debrunner, masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita.
Hug meraih kemenangan keenam berturut-turut dan kelapan keseluruhan, manakala Debrunner menewaskan pencabarnya dari Amerika Syarikat, Tatyana McFadden, untuk merangkul kemenangan ketiga berturut-turut di London.- REUTERS