Ronaldo, skuad Portugal hadir awal ke AS

Cristiano Ronaldo (dua dari kanan) dan Bernardo Silva dari Portugal tiba di lapangan terbang di Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat / foto Reuters

WEST PALM BEACH, 13 Jun – Cristiano Ronaldo mengetuai ketibaan skuad Portugal di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat (waktu tempatan) sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Dunia 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Roberto Martinez mengetuai pasukan sebagai ketua jurulatih untuk membimbing Portugal di Piala Dunia.
  • Cristiano Ronaldo, 41, dijangka membuat penampilan kali keenam dalam Piala Dunia, mengukuhkan statusnya.
  • Portugal dalam Kumpulan K: menentang Republik Demokratik Congo di Houston, kemudian Uzbekistan, dan Colombia di Miami.
  • Kehadiran awal memberi masa kepada pasukan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cuaca setempat.

Kapten Portugal berusia 41 tahun itu tiba bersama rakan sepasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach, Florida, sebelum menuju ke hotel penginapan pasukan di Palm Beach Gardens.

Turut kelihatan bersama rombongan tersebut ialah ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez, yang akan membimbing pasukan itu dalam usaha memburu kejayaan pada pentas tertinggi bola sepak dunia.

Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan Ronaldo mencipta satu lagi rekod apabila tampil dalam kejohanan itu buat kali keenam sepanjang kariernya, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia.

Portugal akan memulakan saingan Kumpulan K dengan menentang Republik Demokratik Congo di Houston pada 18 Jun sebelum berdepan Uzbekistan di venue yang sama enam hari kemudian.

Skuad Selecao itu seterusnya dijadual menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Colombia di Stadium Miami pada 28 Jun.

Kehadiran awal ke AS dijangka memberi ruang kepada Portugal menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cuaca setempat sebelum memulakan kempen memburu kejuaraan dunia pertama dalam sejarah negara itu. – Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.