
EAST RUTHERFORD, 13 Jun – Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti, mengakui beliau masih berdepan perasaan gementar menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026, namun menyifatkan rasa takut sebagai elemen penting yang membantu pasukan kekal berwaspada dan fokus.
- Ancelotti menegaskan Brazil tidak boleh memandang rendah Maghribi yang mengejutkan pada Piala Dunia 2022.
- Brazil perlu mempamerkan aksi lengkap dalam semua aspek untuk menghadapi cabaran kuat daripada pasukan Afrika Utara itu.
- Dalam bola sepak moden tiada pasukan boleh dianggap lemah; Maghribi kini antara pasukan terbaik di Afrika.
- Ancelotti yakin dan bersedia, anggap tugas bimbing Brazil cari Piala Dunia keenam sebagai penghormatan dan amanah besar.
Jurulatih berusia 67 tahun itu berkata, perasaan berkenaan bukanlah satu kelemahan, sebaliknya berfungsi sebagai peringatan supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan, khususnya Maghribi yang muncul antara pasukan paling mengejutkan pada Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Rasa takut boleh menyelamatkan nyawa. Adalah penting untuk sentiasa berwaspada dan fokus supaya pasukan dapat beraksi dengan baik serta tidak dikejutkan lawan,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan menentang Maghribi di New Jersey.
Ancelotti berkata, Brazil perlu menampilkan aksi lengkap dalam semua aspek permainan bagi menghadapi cabaran pasukan Afrika Utara itu yang pernah menyingkirkan Sepanyol dan Portugal sebelum mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022.
Menurutnya, tiada lagi pasukan yang boleh dianggap lemah dalam bola sepak moden.
“Saya seorang yang optimis dan sangat yakin. Kami sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi perlawanan esok dan mengharungi Piala Dunia yang baik.
“Kami perlu mempamerkan persembahan yang lengkap dalam setiap aspek. Dalam bola sepak moden, tiada lagi pasukan kerdil. Maghribi adalah antara pasukan terbaik di Afrika,” katanya.

Bekas pengendali Real Madrid itu sedang menempuh pengalaman baharu selepas mencipta pelbagai kejayaan di peringkat kelab Eropah, termasuk menjadi jurulatih pertama memenangi kejuaraan liga di lima liga utama Eropah serta meraih rekod lima gelaran Liga Juara UEFA sebagai jurulatih.
Kini, beliau memikul tanggungjawab besar untuk membimbing Brazil memburu gelaran Piala Dunia keenam, sesuatu yang disifatkannya sebagai satu penghormatan dan amanah yang besar.
Ancelotti turut menegaskan beliau mahu menikmati sepenuhnya pengalaman mengendalikan Brazil di pentas Piala Dunia dan tidak mahu dibebani tekanan berlebihan.
“Saya mahu menikmati detik ini dengan penuh kegembiraan kerana ia adalah saat yang sangat bermakna dalam perjalanan karier saya.
“Saya berasa baik dan berharap dapat melakukan tugas yang diperlukan bagi membantu pasukan ini mencapai kejayaan,” katanya.
Brazil akan memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan menentang Maghribi dalam aksi Kumpulan G di Stadium MetLife, New Jersey, pada Ahad.