Queenie sasar balingan melebihi 50m, intai rekod kebangsaan di Mokpo

Atlet lempar cakera wanita negara Queenie Ting Kung Ni / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April – Jaguh lempar cakera wanita negara Queenie Ting Kung Ni meletakkan sasaran untuk mengekalkan konsistensi balingan melebihi 50 meter (m) pada Kejohanan Melontar Asia 2026, yang dijadualkan berlangsung di Mokpo, Korea Selatan pada 2 hingga 3 Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penampilan keduanya musim ini; mahu gunakan pentas antarabangsa untuk memburu semula prestasi puncak.
  • Pemegang rekod kebangsaan 52.77m, percaya rekod baharu mampu dicapai jika konsistensi dikekalkan.
  • Menganggap catatan 49.50m di Singapura sebagai permulaan baik; menjalani kem latihan di Pulau Pinang untuk memantapkan teknik.

Queenie berkata kejohanan berkenaan adalah penampilan keduanya bagi musim ini, dan berhasrat menggunakan pentas antarabangsa itu sebagai medan untuk memburu semula prestasi puncaknya.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 52.77m itu berkata jika beliau berjaya mengekalkan konsistensi balingannya melebihi angka 50m, tidak mustahil rekod baharu kebangsaan mampu dicipta di bumi Korea Selatan.

“Sasaran saya untuk kejohanan ini adalah untuk konsistensi lepas 50m dan kalau dapat konsisten, ada rezeki boleh buat rekod kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Atlet Olahraga Malaysia, yang akan berlepas ke Korea Selatan di Majlis Sukan Negara, di sini hari ini.

Mengulas mengenai prestasinya di Singapura baru-baru ini, atlet kelahiran Sarawak itu menyifatkan catatan 49.50m yang dilakukan sebagai satu permulaan baik meskipun belum mencapai sasaran peribadinya.

Beliau menjelaskan bahawa penyertaan di Singapura itu dianggap sebagai proses ‘pemanas badan’ untuk mendapatkan semula rutin dan aura pertandingan selepas tamat saingan Sukan SEA sebelum ini.

“Sebelum ke Singapura, memang kita ada rehat sekejap dan saya fokus kelas.Tapi untuk sekarang, kena ‘full swing’, latihan sepenuh masa dan kelas diletakkan sebagai sambilan sahaja untuk memastikan saya berada di landasan tepat,” katanya.

Sebagai persiapan rapi ke Mokpo, Queenie memaklumkan beliau baru sahaja tamat menjalani kem latihan selama seminggu di Pulau Pinang pada minggu lepas bagi memantapkan teknik balingannya.

Beliau menyifatkan suasana latihan di Pulau Pinang itu sangat membantu dari segi psikologi kerana memberikan ruang untuk lebih tenang dan fokus kepada matlamat utama.

“Vibe (suasana) itu sangat penting bagi saya. Apabila kehidupan seharian dikelilingi dengan persekitaran latihan dan perbincangan mengenai sasaran, ia akan membentuk semula minda serta fokus saya,” katanya. – BERNAMA