
KOTA BHARU, 16 Januari – Ketua Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) Irfan Bakti Abu Salim mengakui Brunei DPMM FC antara pasukan sukar ditewaskan menjelang pertemuan pusingan pertama peringkat 16 pasukan saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.
- KRW FC akui Brunei DPMM FC sukar ditewaskan kerana dibarisi pemain berkualiti dan beraksi di liga utama.
- Pasukan KRW dianggap underdog; jurulatih gunakan pengalaman dan sistem giliran pemain untuk kekalkan kecergasan.
- Pemain berpengalaman seperti Muhammad Faiz sedia beri tentangan sengit walaupun kemenangan dianggap sukar.
Beliau berharap penyokong tidak terlalu meletakkan harapan tinggi kepada pasukannya untuk menewaskan Brunei DPMM FC walaupun bermain di halaman sendiri malam esok.
“Seperti saya katakan sebelum ini, kami pada saingan Piala Malaysia sebagai pasukan ‘underdog’ kerana pasukan yang layak beraksi cukup hebat termasuk pasukan Brunei DPMM FC kerana mereka dibarisi pemain berkualiti tinggi.
“Di atas kertas sudah jelas kelebihan memihak kepada pasukan lawan, mereka beraksi di liga utama (Liga Super) faktor ini turut memberi kelebihan pengalaman kepada mereka berbanding kami pasukan baharu dibentuk musim ini dan beraksi di Liga A1 Semi-Pro yang kekurangan pengalaman,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Brunei DPMM FC pada saingan Liga Super ketika ini berada pada kedudukan kelapan, manakala Kelantan Red Warrior FC berada pada kedudukan keenam saingan Liga A1 Semi Pro.
Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata walaupun tidak meletakkan harapan tinggi untuk menewaskan Brunei DPMM, namun pemainnya akan sedaya upaya memberi saingan pada perlawanan malam esok.
“Saya sedaya upaya menggunakan pengalaman dimiliki bagi memastikan pemain saya mempamerkan aksi sebaik mungkin bagi mendapatkan keputusan positif.
“Sekarang ini pemain kena kuatkan mental bagi menghadapi tekanan pihak lawan kerana kita bermain di tempat sendiri dan pastinya penyokong mahukan aksi menarik selain memperoleh kemenangan,” katanya.
Irfan Bakti berkata beliau terpaksa menggunakan sistem giliran pemain bagi memastikan pemain yang diturunkan esok cergas dan mampu memberi saingan.
“Bulan ini kami hadapi jadual perlawanan padat, malah kami tiada masa untuk bercuti daripada latihan dan sememangnya ia memerlukan kecergasan yang tinggi daripada para pemain,” katanya.
Sementara itu, penyerang KRW FC Muhammad Faiz Mohd Nasir, 33, akan menggunakan sepenuh pengalaman yang dimilikinya ketika bersama pasukan Terengganu FC sehingga muncul sebagai naib juara piala itu pada 2018 untuk membantu kelabnya memperoleh kemenangan.
“Musim ini penampilan pertama kami pada saingan Piala Malaysia dan ia boleh membanggakan kerana kami pasukan baharu yang dibentuk.
“Saya dan rakan sepasukan cukup teruja walaupun sedar cabaran malam esok agak berat apabila menentang Brunei DPMM FC, ” katanya.
Muhammad Faiz berkata walaupun untuk memperoleh kemenangan cukup sukar, namun tidak salah untuknya dan rakan sepasukan memberikan tentangan sengit dan yakin barisan jurulatih mempunyai perancangan yang lebih baik.- BERNAMA