Pearly-Thinaah, Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka India

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Januari – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menempah tiket ke separuh akhir Terbuka India selepas mencatat kemenangan meyakinkan pada aksi suku akhir, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly-Thinaah mara separuh akhir Terbuka India selepas kemenangan straight set, terus dominan lawan Taiwan dengan rekod 3-0.
  • Mereka akan berdepan pasangan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto untuk tempat di final.
  • Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga layak separuh akhir, menang straight set dan kekal 5-0 menentang pasangan Taiwan itu.
  • Beregu campuran Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie tersingkir suku akhir selepas tewas sengit tiga set kepada pasangan China nombor satu.

Pasangan ranking kedua dunia itu tidak berdepan masalah menewaskan wakil Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En-Tzu yang menghuni ranking kesembilan dunia, menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-10 dalam hanya dalam tempoh masa 33 minit di Kompleks Sukan Indira Gandhi.

Keputusan itu menyaksikan Pearly-Thinaah terus mendominasi gandingan Taiwan berkenaan dengan rekod tiga kemenangan tanpa kalah.

Keputusan tersebut sekali gus mengubat kekecewaan pasangan negara itu selepas tersingkir seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Pada aksi separuh akhir, wakil negara itu dijadual bertemu pasangan ranking keenam dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi merebut tiket ke pentas akhir.

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik / BERNAMA

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Pasangan ranking kedua dunia itu menewaskan wakil Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan yang berada di ranking ke-15 dunia, menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-14 dalam tempoh 31 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengekalkan rekod bersih ke atas pasangan Taiwan itu dengan lima kemenangan daripada lima pertemuan.

Pada aksi separuh akhir esok, mereka dijadual bertemu sama ada pasangan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita, atau wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han.

Sementara itu, cabaran beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie terhenti di suku akhir selepas tewas kepada pasangan ranking nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama satu jam 15 minit, pasangan ranking ke-10 dunia itu memberikan tentangan hebat sebelum akur tewas dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-19, 18-21.