
BEIJING, 14 Oktober – Pelabur China menunjukkan minat untuk membawa pelaburan berskala besar dalam sektor pengeluaran aluminium ke kawasan perindustrian Samalaju di Bintulu,
Sarawak.
- Cadangan itu berpotensi memperluas kapasiti pengeluaran produk aluminium untuk sektor pembinaan, automotif dan menembusi pasaran global.
- Pelaburan masih tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
- Kerajaan akan membantu MITI menumpukan kepada pengeluaran berasaskan teknologi tinggi.
- Kemasukan pelaburan dijangka mewujudkan pekerjaan, pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran melalui TVET serta factory teaching.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu berpotensi memperluas kapasiti pengeluaran produk berasaskan aluminium untuk kegunaan sektor pembinaan, automotif dan industri lain, serta menembusi pasaran baharu di peringkat global.
Bagaimanapun, cadangan pelaburan itu masih tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri Sarawak dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Banyak bidang yang telah dikenal pasti, tetapi saya akan membantu MITI dan memberi fokus kepada bidang pengeluaran berasaskan pada teknologi tinggi.
“Umpamanya, terdapat minat daripada mereka untuk melabur di kawasan industri di Samalaju, Sarawak di mana mereka akan membawa pasaran yang telah mereka ada dan juga menembusi pasaran baharu, pelaburannya dijangka sangat besar,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media hari ketiga lawatan kerja beliau ke China, pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, usaha menarik pelabur China adalah sebahagian daripada pendekatan dalam menggalakkan kemasukan pelaburan ke kawasan luar bandar khususnya dalam sektor pengeluaran berteknologi tinggi.
Tambahnya, insentif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka menjadi antara tarikan kepada pelabur asing untuk meneroka peluang pelaburan di kawasan berkenaan.
Kemasukan pelaburan itu juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda, selain membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran teknikal melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pendekatan ‘factory teaching’ atau pembelajaran berasaskan persekitaran kilang juga boleh dimanfaatkan bagi membolehkan pelajar TVET memperoleh pendedahan praktikal dalam bidang teknikal berteknologi tinggi