Lebih 35 buah rumah rosak akibat ribut di daerah LMS

Foto tular

IPOH, 14 Oktober – Lebih 35 buah rumah dilaporkan terjejas akibat ribut yang berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat disertai angin kencang selama kira-kira sejam menyebabkan kerosakan.
  • Bumbung beberapa rumah diterbangkan angin dan pokok tumbang di kampung sekitar Mukim Matang.
  • 12 anggota APM dikerahkan untuk pemantauan dan kerja pembersihan kawasan terjejas.
  • Operasi dijalankan bersama JBPM, MPT dan JKR, mangsa ditempatkan di PPS SK Matang yang diselaraskan JKM.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) LMS Kapten (PA) Ahmad Fakhrur Razi Md Noor berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira 3.30 petang melalui aduan yang dikemukakan oleh Pejabat Penghulu Mukim Matang.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada hujan lebat berserta angin kencang dan berlarutan selama kira-kira sejam bermula 3 petang.

“Cuaca buruk itu telah menyebabkan bumbung beberapa rumah penduduk diterbangkan angin, selain kejadian pokok tumbang di beberapa buah kampung sekitar Mukim Matang,” katanya.

Ahmad Fakhrur berkata sebanyak 12 anggota APM LMS telah dikerahkan ke lokasi terjejas bagi menjalankan pemantauan serta kerja-kerja pembersihan kawasan.

Foto tular

Beliau berkata operasi berkenaan turut dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat dan teknikal seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengulas tentang penduduk yang terjejas, beliau berkata buat masa ini kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Matang yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita jangka jumlah mangsa kejadian ini akan meningkat dan mana-mana mangsa yang terjejas boleh terus ke PPS SK Matang untuk sebarang bantuan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana LMS Mohd Nasrul Menhat dalam satu kenyataan memaklumkan PPS SK Matang telah dibuka pada 6.30 petang tadi susulan kejadian ribut.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.