
NEW DELHI, 25 Januari – Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) mengumumkan pada Sabtu bahawa Scotland akan menggantikan tempat Bangladesh dalam saingan Piala Dunia T20 Lelaki ICC 2026.
- ICC menilai tiada ancaman keselamatan yang boleh dipercayai terhadap pemain, pegawai atau penyokong Bangladesh di India.
- Bangladesh pernah memohon pindahkan perlawanan ke Sri Lanka, tetapi permohonan itu ditolak oleh ICC.
- Kerajaan Bangladesh membuat keputusan tidak menghantar pasukan atas alasan keselamatan, menurut penasihat sukan negara itu.
Lembaga Kriket Bangladesh (BCB) sebelum ini enggan menyertai kejohanan itu, yang dianjurkan bersama oleh India dan Sri Lanka bermula 7 Feb ini, atas faktor kebimbangan mengenai keselamatan pemain serta peminat negara itu di India.
“Penilaian ICC merumuskan bahawa tidak terdapat ancaman keselamatan yang boleh dipercayai atau boleh disahkan terhadap pasukan kebangsaan, pegawai atau penyokong Bangladesh di India,” menurut ICC dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Bangladesh telah meminta ICC untuk memindahkan perlawanan melibatkan pasukannya dari India ke Sri Lanka, namun permohonan itu ditolak oleh badan kriket berkenaan.
Sementara itu, Penasihat Belia dan Sukan Bangladesh, Asif Nazrul mengulangi kebimbangannya terhadap tahap keselamatan pasukan itu jika beraksi di India.
“Saya ingin menyatakan satu perkara dengan sangat jelas, keputusan untuk tidak menghantar pasukan bagi Piala Dunia di India adalah keputusan kerajaan setelah mengambil kira risiko keselamatan. Hanya kerajaan yang berhak menentukan sama ada terdapat sebarang ancaman keselamatan bagi rakyatnya apabila melawat ke negara lain, tiada ruang bagi pertimbangan lain,” kata Asif. – BERNAMA